KUALA LUMPUR: Kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu bukan pengakhiran buat Selangor.
Penyerang import Selangor, Ronnie Fernandez menjelaskan bahawa masih banyak perjuangan yang harus ditempuhi Gergasi Merah selepas ini.
Pemain dari Chile itu mengakui kekalahan besar di tangan Harimau Selatan bukan keputusan yang dijangka dan Selangor harus bangkit dengan lebih kuat.
“Ini bukanlah keputusan yang kami jangkakan. Kami berjuang hingga ke penghujung dan sampai ke final (Piala FA) dengan usaha kami sendiri.
“Kami harus terus berkembang bersama-sama untuk menjadi lebih kuat pada masa hadapan! Ia tidak berakhir di sini, masih banyak lagi yang perlu diperjuangkan,” katanya di laman Instagram.
Kekalahan kepada JDT yang juga juara bertahan Piala FA memusnahkan impian Selangor menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali menjulang trofi itu.
sumber: BH
Kali terakhir Gergasi Merah menjulang trofi Piala FA pada 2009 selepas menewaskan Kelantan menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir.
Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super di belakang JDT akan mengharungi kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang akan bermula bulan depan.