Bukan Sekadar Helaian Kertas, Kenapa SPM Penting?

kenapa spm penting

Bukan Sekadar Helaian Kertas, Kenapa SPM Penting?

Pendidikan merupakan satu proses pembelajaran yang penting dalam hidup setiap orang. Hal ini kerana setiap insan sudah terikat dengan proses pembelajaran sejak kecil lagi.

Ia berlaku tanpa batasan hingga sepanjang hayat. Seperti yang diketahui, pendidikan dapat membentuk jati diri dan sahsiah yang terpuji.

Oleh itu, setiap bentuk penilaian atau ujian yang dijalankan bertujuan membawa kita satu langkah ke hadapan.

Misalnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia menentukan hala tuju ke peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). Pendidikan secara tidak langsung mampu mengubah kehidupan seseorang anak bangsa ke tahap yang lebih tinggi.

Hal ini kerana, ilmu ibarat cahaya yang menerangi di dalam kegelapan.

Oleh itu, pendidikan di sekolah menengah amat penting sebagai ‘bekal’ dalam menceburi alam universiti dan bidang kerjaya kelak.

Seperti yang diketahui, hari ini bermulalah detik perjuangan untuk 403,637 calon peperiksaan SPM 2022 di seluruh negara. Setelah berhempas pulas belajar selama ini, pastinya mereka sudah bersedia menghadapi salah satu peperiksaan yang paling penting itu.

Apa itu SPM?

Gambar: Bernama

SPM merupakan singkatan daripada perkataan Sijil Pelajaran Malaysia. Penilaian ini diuruskan secara berpusat dan menjadi peperiksaan utama di Malaysia.

SPM Terbuka Kepada Siapa?

Sijil Pelajaran Malaysia terbuka kepada semua pelajar yang telah menamatkan lima tahun pendidikan menengah iaitu Tingkatan Lima. Ia juga mengambil kira tempoh pelajaran di peringkat sekolah rendah selama lima atau enam tahun.

Selain itu, calon luar yang telah menamatkan pendidikan menengah juga terbuka untuk menduduki penilaian ini.

Objektif SPM 

Gambar: Bernama

Matlamat penilaian SPM diadakan bertujuan menilai tahap pencapaian setiap pelajar dalam mata pelajaran yang diambil.

Keputusan ini digunakan bagi pemilihan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Kemasukan menerusi SPM ini dilihat berdasarkan kesesuaian subjek yang di ambil.

Tambahan lagi, keputusan SPM juga digunakan untuk memohon biasiswa bagi proses penajaan sepanjang pengajian.

BACA JUGA: Sejarah Sempadan Melaka-Rembau Mungkin Ramai Tak Tahu

Ke Mana Arah Tuju Selepas SPM? 

Kadang kala sehingga pengumuman SPM dikeluarkan, mereka masih tercari-cari ke manakah kaki mereka bakal melangkah.

Dalam fasa ini, penting untuk mereka menilai diri sendiri. Sebarang keputusan yang dibuat tidak boleh berdasarkan emosi dan pengaruh luar seperti rakan atau keluarga.

Hal ini kerana ia melibatkan masa depan yang bakal ditempuhi mereka.

Sebenarnya, banyak peluang yang terhidang untuk mereka yang bergelar ‘lepasan SPM”. Bagi mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM pastinya mendapat pelbagai tawaran daripada pelbagai IPTA dan IPTS.

Kita juga dapat melihat semakin banyak sektor pendidikan yang dibangunkan. Sudah tentu tentu ia menjadi dambaan kepada mereka yang mahu bergelar mahasiswa dan mahasiswi di Universiti ternama di Malaysia.

Selain IPTA dan IPTS, lepasan SPM boleh memilih untuk menyambung pelajaran di peringkat Matrikulasi dan Tingkatan Enam. Kedua-dua program ini di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagi Matrikulasi, ia bagi memastikan pembangunan potensi bumiputera melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

Setidaknya, ia melayakkan mereka selangkah ke peringkat ijazah sarjana muda di IPT di dalam mahupun luar negara.

Tambahan lagi, ia menawarkan bidang kerjaya dalam sains, teknologi dan profesional. Lulusan Program Matrikulasi juga diiktiraf dalam Perkhidmatan Awam sejak tahun 2017.

Selain IPT dan Matrikulasi, Tingkatan Enam atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merupakan satu lagi platform pintas untuk melanjutkan pelajaran.

Hal ini kerana program ini menawarkan pengajian hanya dalam tempoh tiga semester sahaja sebelum layak menyambung pengajian pada peringkat Ijazah.

Bagaimanapun, syarat yang ditetapkan adalah pelajar mesti menamatkan pengajian pada tahap SPM. Tambahan lagi, ia juga mencapai standard di peringkat antarabangsa selaras dengan matlamat yang disasarkan oleh KPM.

BACA JUGA: Rangka Purba ‘Penang Woman’ Berusia 5,000 Tahun Akhirnya Ada Muka

Program Diploma International Baccalaureate (IB) juga antara inisiatif kerajaan terhadap pelajar lepasan SPM.

Mungkin ramai tidak sinonim dengan program ini. Untuk pengetahuan, ia merupakan satu program prauniversiti yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Tempoh pengajian IB mengambil masa dua tahun bersamaan empat semester.

Kenapa SPM  Sangat Penting?

Jadi, jelaslah kenapa peranan SPM amat penting dalam pendidikan dan bukan hanya sekadar penanda aras. Ia juga membuka peluang baharu kepada mereka yang gigih belajar.

Tambahan lagi, kebanyakan sektor pekerjaan di dalam negara juga memerlukan kelayakan SPM minimun. Bagi mereka yang menganggap SPM hanya sekadar helaian kertas. Mereka seolah-olah sedang ‘membakar’ masa depan sendiri.

Hal ini kerana setiap keputusan terletak pada tangan sendiri dalam mencorakkan kehidupan yang bakal ditempuhi kelak.

Sistem Pendidikan Di Malaysia

Untuk makluman, Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berada di bawah bidang selia kerajaan terbahagi kepada empat termasuk Pendidikan Prasekolah, Pendidikan Rendah, Pendidikan Menengah dan Pendidikan Lepas Menengah.

Namun, Pendidikan Menengah banyak membawa perubahan terhadap masa depan seseorang.

BACA JUGA: Maksud Malaysia Madani, Slogan Baharu Negara Malaysia

Antara jenis sekolah yang disediakan pada peringkat ini ialah Sekolah Akademik, Sekolah Teknik dan Vokasional serta Sekolah Kebangsaan Agama.

Pendidikan Sekolah Menengah

Gambar: Bernama

Umumnya, tahap pendidikan di sekolah menengah terbahagi kepada dua iaitu Pendidikan Menengah Rendah dan Pendidikan Menengah Tinggi.

Bagi Pendidikan Menengah Rendah, ia merangkumi murid-murid sekolah yang berumur 13 hingga 15 tahun (Tingkatan Satu Hingga Tingkatan Tiga).

Dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar, peringkat menengah rendah ini bertujuan memberikan pendedahan dalam pelbagai bidang ilmu.

Manakala, Pendidikan Menengah Atas pula termasuk pelajar berusia 16 dan 17 tahun (Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima).

Tahap atas ini lebih memberikan penekanan kepada pelbagai jenis bidang seperti aliran agama, sains, sastera, teknik, vokasional dan kemahiran.

Secara tidak langsung ia memudahkan murid-murid untuk membuat pengkhususan bidang ke peringkat pengajian tinggi atau pekerjaan.

Oleh itu, penilaian berdasarkan SPM dijalankan setiap tahun kepada pelajar tingkatan lima.

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) (1) (2) dan (3), Institusi Pendidikan Hira’

The post Bukan Sekadar Helaian Kertas, Kenapa SPM Penting? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*