Bukan tak mahu menyerang, Malaysia agresif sangat – Nishigaya

KUALA LUMPUR: Corak permainan Harimau Malaya yang melancarkan serangan sejak awal permainan, tidak mengizinkan Singapura untuk berada pada posisi yang lebih tinggi, tetapi, sebaliknya terpaksa bertahan, kata jurulatih, Takayuki Nishigaya.

Menurut pengendali berasal dari Jepun itu, anak-anak buahnya gagal untuk melaksanakan misi yang telah direncanakan ekoran aksi agresif skuad bimbingan Kim Pan Gon.

“Kami memang berhasrat untuk berada pada posisi yang lebih tinggi di atas padang sewaktu babak pertama, tetapi malangnya kami diserang secara bertali arus.

“Pada separuh masa kedua, kami berusaha untuk mengubah corak permainan bertahan kami, tetapi, kami tidak mampu untuk berbuat demikian,” katanya.

PENYERANG Malaysia, Sergio Aguero cuba dihalang pertahanan Singapura, Irfan Fandi dalam Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas skuad Singa tumbang kepada Malaysia 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Nishigaya, bagaimanapun tidak kesal dengan perancangan taktikal yang telah diaturnya dan sebaliknya yakin skuad bimbingannya itu dibarisi pemain yang berpotensi.

Jelasnya, selepas kekalahan tersebut, banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama di bahagian serangan dan benteng pertahanan. – UTUSAN ONLINE

The post Bukan tak mahu menyerang, Malaysia agresif sangat – Nishigaya appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*