Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

KOTA KINABALU – Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, hari ini, mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuatkuasa serta-merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak Jun 2021.

“Perletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan penuh kepada kerjaya politik.

“Surat perletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar menerusi kenyataan sama berkata, walaupun mengakui sedikit rasa kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan Sabah FC namun sepanjang mengetuai badan induk bola sepak itu, beliau dapat menyaksikan pasukan berkenaan sudah berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain meningkatkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia masih ditahap yang masih belum memuaskan.

“Mengurus badan induk bola sepak seperti pasukan Sabah FC memerlukan sokongan dari semua pihak terutamanya peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya, ” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran itu, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di Sabah.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi SAFA pada Disember 2020 sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai pemangku Prsiden SAFA sebelum disahkan selaku Presiden dalam mesyuarat agung luar biasa SAFA pada Jun 2021. – KOSMO! ONLINE

The post Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*