Che Adam lakar sejarah rakyat Malaysia pertama derma darah tahun 2023

 

KUALA TERENGGANU : Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman hari ini melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah pada tahun 2023.

Che Adam menderma darah tepat pada pukul 8 pagi di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau yang sudah 88 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun telah mendaftar secara atas talian dalam ‘Blood Bank Information System’ (BBIS) pada pukul 12.05 tengah malam tadi.

Menurutnya, menjadi rakyat Malaysia pertama menderma darah untuk tahun 2023 adalah antara azamnya dan beliau bersyukur ia tercapai hari ini.

“Ini juga sebahagian inisiatif saya untuk menyokong promosi dan kempen menderma darah Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat negara ini menjadikannya sebagai rutin amalan mereka.

“Semoga usaha kecil ini dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya.

Rekod Che Adam sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah untuk tahun 2023 itu disahkan oleh Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali setelah membuat semakan di sistem BBIS yang mempunyai data dari seluruh negara.

Che Adam berkata, beliau juga berasa lebih sihat dan gembira kerana dapat menyumbang darah dengan lebih kerap iaitu sekali dalam tempoh tiga bulan.

“Derma tidak semestinya dari segi kewangan sahaja, kita boleh salurkan sumbangan mengikut kemampuan yang ada.

“Walaupun sudah 88 kali menderma darah, tahap kesihatan saya kekal di tahap terbaik dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman yang teratur,” katanya. – UTUSAN

The post Che Adam lakar sejarah rakyat Malaysia pertama derma darah tahun 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*