Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Arie Zaharie berharap naskhah aksi itu dapat menambah kutipan RM7 juta lagi dalam tempoh tayangan berbaki dua minggu, khususnya ketika musim cuti persekolahan.

Katanya, kedudukan filem itu di pawagam sangat baik apabila berada pada tangga ketiga pilihan penonton.

“Kita banyak buat promosi di sekitar Kuala Lumpur, termasuk tayangan treler di skrin besar dan papan iklan.

“Tidak mudah mendapatkan tarikh tayangan, terutama selepas pandemik kerana masih banyak filem belum memasuki pawagam.

“Apatah lagi, dalam situasi orang ramai masih berkira-kira hendak keluarkan duit disebabkan peningkatan kos sara hidup, ia memberikan sedikit cabaran kepada filem ini,” katanya.

Filem itu ditayangkan di pawagam seluruh negara, serentak di Singapura dan Brunei Darussalam sejak 2 Februari lalu.

Setakat 10 hari tayangan, filem sentuhan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif itu meraih kutipan RM5 juta.

Filem berkaitan unit berunifom yang sarat dengan aksi mendebarkan merupakan terbitan Flying Deals Sdn. Bhd. dan Arie Zaharie Production serta mendapat kerjasama Maritim Malaysia.

Filem yang menelan kos sebanyak RM13 juta itu menampilkan Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama, dibantu Adlin Aman Ramlee, Sabri Yunus, Aziz M Osman dan Hazama.

Filem itu menjalani penggambaran selama 60 hari di sekitar Pulau Langkawi, Kedah dan Kuantan, Pahang pada 2019.

The post Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*