Cuaca Panas: Perak Akan Adakan Solat Sunat Istisqa – JAIpk

perak solat sunat istisqa

Cuaca Panas: Perak Akan Adakan Solat Sunat Istisqa – JAIpk

IPOH, 14 Mei (Bernama) — Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan arahan kepada semua masjid di Perak supaya mengadakan solat sunat istisqa bagi memohon hujan berikutan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata arahan itu mungkin dikeluarkan esok atau dalam masa terdekat.

“Kita akan buat (solat sunat Istisqa) dalam masa terdekat sebab kita tengok awan ada nampak nak hujan pula, tetapi insya-Allah kita akan buat.

“Mungkin kita arahkan hari esok, esok saya akan keluarkan surat mungkin Selasa, Rabu kalau masih lagi cuaca begini (panas) kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 JAIPk bersama Persatuan Cina Muslim Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Perak akan mengadakan solat sunat istisqa atau solat sunat meminta hujan ekoran cuaca panas ketika ini.

Pada 10 Mei, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi empat kawasan di Semenanjung dan satu kawasan di Sarawak, antaranya melibatkan Hulu Perak, Kinta dan Manjung di Perak.

Tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut

Sementara itu, ditanya mengenai ajaran meragukan di sebuah banglo lama terbiar di Bagan Serai, Harith Fadzilah berkata JAIPk akan segera bertindak sekiranya menerima laporan berlakunya perkara tersebut.

“Setakat ini masih belum menerima apa-apa laporan, tetapi jika betul kejadian itu berlaku kita akan bertindak segera. Tindakan seterusnya kita akan buat siasatan, lepas itu baru kita akan kenal pasti adakah ajaran itu meragukan atau sebaliknya.

“Kita akan tengok bagaimana acara ajaran itu berjalan sebab kita akan buat kertas (laporan) untuk bawa ke jawatankuasa fatwa yang akan memutuskan sama ada ajaran itu sesat atau tidak,” katanya.

Harith Fadzilah berkata sekiranya didapati ajaran itu bertentangan dengan agama Islam, JAIPk akan mengangkat perkara itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk digazetkan atau diwartakan sebagai ajaran yang meragukan.

Pada 3 Mei, media melaporkan sebuah banglo lama yang terbiar di Bagan Serai dipercayai dijadikan tempat menjalankan aktiviti pemujaan nombor ekor oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: BERNAMA

The post Cuaca Panas: Perak Akan Adakan Solat Sunat Istisqa – JAIpk appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*