Dagangan Bursa Malaysia, Ringgit Tahun 2022 Diasak Kemelut Perang Dan Inflasi

Dagangan Bursa Malaysia, ringgit tahun 2022 diasak kemelut perang dan inflasi

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Pada awal tahun 2022, prospek untuk kedua-dua ringgit dan  Bursa Malaysia dilihat cerah dan menjanjikan kerana ancaman pandemik telah mula mereda.

Mata wang tempatan berada pada paras RM4.1715 berbanding dolar AS manakala penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,549.05 ketika mengakhiri hari dagangan pertama tahun baharu (3 Jan 2022).

Walaupun tercetusnya peperangan di Ukraine pada penghujung Februari, ringgit dan bursa tempatan terus berkembang maju sehinggalah trend menaik itu mula tergugat apabila Amerika Syarikat mengambil langkah mengetatkan dasarnya dan ini telah menyokong dolar AS.

Tindak balas terhadap kejutan luaran secara umumnya seiring dengan situasi di luar negara, yang menyaksikan aliran keluar modal berlaku di seluruh dunia.

Inflasi melanda

Ringgit menyusut nilai ke paras terendah dalam sejarah pada RM4.7465 berbanding dolar AS pada 4 Nov 2022, apabila inflasi mula menular ke seluruh dunia termasuk di dalam negara.

Angka itu adalah yang terburuk sejak mata wang tempatan mencatatkan paras RM4.7125 pada 9 Jan 1998 disebabkan krisis kewangan Asia. Mata wang pound, euro dan yen adalah antara mata wang utama yang turut mencecah paras terendah baharu sepanjang masa.

Kejatuhan terbesar pasaran mata wang ini telah memberi tekanan kepada bank-bank pusat untuk menaikkan kadar apabila harga melonjak, termasuk di Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata selain daripada terpalit dengan tindakan Rizab Persekutuan untuk terus menaikkan kadar faedah dalam usaha membendung inflasi, mata wang tempatan turut tertekan oleh perbezaan kadar faedah yang semakin meluas antara Kadar Dana Persekutuan ( FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Rizab Persekutuan telah menaikkan kadar dasarnya sebanyak 425 mata asas (bps) sejak Mac tahun ini berbanding kenaikan 100 mata asas dalam OPR.

Senario ini telah mengakibatkan julat FFR, kini pada 4.25 – 4.50 peratus, lebih tinggi daripada OPR pada 2.75 peratus setakat ini, dan Rizab Persekutuan terus  komited untuk mengekang inflasi yang kini masih tinggi walaupun telah mula berkurangan sejak Julai 2022.

Pada masa yang sama, Firdaos berkata pelaburan portfolio asing yang berkurangan memasuki Malaysia sejak akhir-akhir ini turut memberi tekanan kepada ringgit.

Aliran dana asing adalah negatif dari September hingga November 2022 bagi kedua-dua pasaran bon dan ekuiti.

Beliau berkata walaupun aliran dana asing ke dalam ekuiti untuk 11 bulan pertama 2022 positif dengan merekodkan nilai RM5.68 bilion, dalam tempoh itu juga, pelabur asing telah menjual pegangan bon Malaysia mereka melibatkan nilai sehingga RM12.35 bilion.

”Mata wang negara sedang pesat membangun akan terus berada di bawah tekanan kerana Rizab Persekutuan masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk menukar pendiriannya selagi inflasi AS terus berada dalam aliran melebihi kadar sasaran 2.00 peratus,” katanya kepada Bernama.

Bagi tahun 2022 setakat 23 Dis, ringgit telah kerugian 6.0 peratus daripada nilainya berbanding dolar AS, manakala Bursa Malaysia pula susut 4.8 peratus.

Namun begitu, beliau berpendapat ringgit telah menebus kembali sedikit kerugian sejak minggu kedua November 2022, justeru menjangkakan unit tempatan itu boleh mengakhiri tahun ini dalam julat RM4.46 – RM4.49 berbanding dolar AS.

Tidak semuanya suram dan kelam 

Sementara itu, mengambil contoh prestasi ringgit pada 19 Dis, Firdaos berkata walaupun ringgit telah menyusut nilai berbanding dolar Hong Kong (-6.1 peratus), dolar Singapura (-5.4 peratus) dan baht Thailand (-1.4 peratus), ia mengukuh berbanding mata wang utama lain seperti euro ( 0.9 peratus), yuan China (3.4 peratus), pound Britain (4.9 peratus) dan yen Jepun (11.9 peratus).

“Kita melihat aliran yang sama dengan gandingan mata wang lain seperti dolar Australia (2.1 peratus), rupiah Indonesia (3.0 peratus), won Korea Selatan (3.1 peratus) dan rupee India (4.4 peratus),” katanya.

Firdaos menambah ringgit yang lebih lemah boleh menjadi pemangkin untuk melonjakkan pertumbuhan eksport bersih Malaysia apabila pertumbuhan import merosot.

Pada asas tahun ke tahun, pertumbuhan eksport mengatasi import buat kali pertama tahun ini pada November 2022, sekali gus mencadangkan pengembangan imbangan perdagangan yang menggalakkan dalam tempoh terdekat.

Justeru, katanya ini boleh memberi sokongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat 2022 dan, seterusnya tahun penuh 2022, yang dijangka menyaksikan pertumbuhan 8.1 peratus.

“Kita meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia mencapai 4.5 peratus pada 2023, dan 4.7 peratus pada 2024.

”Sekiranya pembukaan semula ekonomi China semakin rancak, ia boleh memberikan penampan yang diperlukan untuk prospek positif ringgit bagi akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau mengunjurkan FBM KLCI akan mengakhiri tahun 2022 pada sekitar paras 1,560.

Dalam pada itu, negara turut menyaksikan peralihan kerajaan yang lancar diketuai oleh Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Kerajaan Perpaduan, sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti politik, telah dibentuk hasil daripada Parlimen tergantung, yang pertama dalam sejarah negara.

Prospek 2023

Ketua Ekonomi IQI Juwai Shan Saeed mengunjurkan ringgit akan mengekalkan kestabilan strukturnya pada 2023 apabila dolar AS mula memasuki trend susut nilai.

‘’Ringgit seharusnya berada pada paras antara RM4.10 dan RM4.37 pada 2023 berdasarkan kepada jangkaan harga minyak yang lebih tinggi, kestabilan ekonomi dan paling penting, penyusutan nilai dolar AS.

”Kami di Juwai IQI menjangkakan mata wang ringgit akan menjadi antara mata wang teratas, bersama-sama dengan dong Vietnam, rupiah Indonesia, baht Thailand, real Brazil, rand Afrika Selatan dan peso Filipina pada 2023.

“Ini semua apabila Rizab Persekutuan memulakan pelonggaran kuantitatif (QE5) dengan penurunan kadar menjelang Oktober/November 2023 tatkala ekonomi AS memasuki kemelesetan mendalam berbentuk L yang teruk,” jelas Shan.

Beliau berkata ringgit telah meningkat 8.14 peratus dalam tempoh lima minggu lepas berbanding dolar AS.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan FBM KLCI meningkat lapan peratus untuk mengakhiri tahun 2023 pada 1,633 di tengah-tengah potensi pulangan dana asing, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan serta kejelasan terhadap dasar baharu kerajaan.

Sumber: BERNAMA

The post Dagangan Bursa Malaysia, Ringgit Tahun 2022 Diasak Kemelut Perang Dan Inflasi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*