Dakwaan terima RM15 juta fitnah, Anwar tidak dibayar jadi penasihat ekonomi Selangor

Shah Alam, 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menerima elaun atau keistimewaan sepanjang dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Malah sepanjang tempoh itu beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun dan gaji itu tidak dibayar sejak dilantik.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor berkata dakwaan Anwar menerima bayaran RM15 juta ketika menjawat jawatan itu adalah fitnah.

Menurut Juwairiya Zulkifli, perkara itu sudah dinafikan berulang kali termasuk jawapan rasmi bekas menteri besar Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

“Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional ketika ceramah kempen di Padang Serai yang mendakwa Datuk Seri Anwar menerima bayaran RM15 juta itu adalah sekadar pengulangan fitnah.

“Perkara ini telah jelas tertera dalam hansard Dewan Negeri Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh Ahli Dewan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Juwairiya yang juga wakil rakyat Bukit Melawati berkata tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu itu tidak bertanggungjawab dan menunjukkan keadaan terdesak Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan ini menunjukkan Perikatan Nasional muflis modal politik dan terkeluar daripada nadi politik Melayu-Islam.

“Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan,” katanya sambil menyatakan Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya.

BACA: Anwar mula tugas Menteri Kewangan, hadiri taklimat pengoperasian

Kredit: Selangorkini

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*