Kuala Lumpur: Desas desus mengaitkan penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal menyertai sebuah kelab Liga Malaysia (Liga M) pada jendela perpindahan kedua ketika ini disahkan tidak benar dan ia hanyalah khabar angin.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk (KVK), Amin Fuad yang menegaskan Luqman masih lagi bersama kelab Jepun, Yokohama SCC.
Jelasnya, Luqman masih memiliki kontrak bersama KVK di Belgium sehingga pertengahan musim depan dan ketika ini pemain kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu masih berstatus pinjaman dengan Yokohama SCC yang bersaingan dalam divisyen tiga Jepun itu.
Ujar Amin, tidak mungkin Luqman akan bermain di Liga M kerana bekas penjaring terbanyak Piala Asia B-17 pada 2018 lalu itu baru sahaja memasuki kelas bahasa Jepun sebulan yang lalu.
“Dia (Luqman) baru sahaja menyertai kelas bahasa Jepun untuk meningkatkan lagi kemahiran komunikasinya di sana kerana kebanyakan orang di sana tak fasih berbahasa Inggeris.
“Jadi saya tak fikir dia akan bermain di Liga M buat masa ini dan itu mungkin khabar angin. Mungkin ada percubaan daripada pihak tertentu untuk memancingnya, tapi Luqman masih ada kontrak dengan KVK dan dia masih lagi pemain pinjaman di Jepun.
“Luqman masih ada beberapa bulan untuk tingkatkan prestasinya di Jepun dan sebab itu dia juga komited untuk belajar bahasa Jepun supaya mudah untuknya berkomunikasi dan bersaing dalam pasukan,” katanya kepada Arena Metro.
Terdahulu, tular di laman sosial mengaitkan Luqman bakal pulang ke tanahair dengan menyertai kelab Liga M ketika ini .Antara pasukan dikaitkan adalah Sri Pahang FC yang kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul enam mata selepas mengharungi tujuh aksi setakat ini.
sumber: HM
Untuk rekod, Luqman mula menyertai KVK dengan kontrak lima tahun bermula 2020 lalu dan pernah dipinjamkan ke Liga Iceland bersama Njarovik FC pada 2023 lalu sebelum menyertai Yokohama SCC awal musim ini.