Dua kapal asing ‘keras kepala’ berlabuh secara haram ditahan

KOTA TINGGI – Sebuah kapal pengangkut berdaftar dari Hong Kong dan kapal tangki dari Panama berjaya ditahan selepas berlabuh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal pertama iaitu kapal pengangkut ditahan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 1.00 petang di kedudukan 23.9 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Siang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

“Kapal pengangkut tanpa muatan berdaftar dari Hong Kong tersebut dikendalikan 19 kru lelaki termasuk nakhoda warga Filipina dan China berusia 25 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala vesel kedua merupakan kapal tangki pula ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 31 bn timur laut Tanjung Gemoh pada pukul 4.10 petang kerana didapati melakukan kesalahan yang sama iaitu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh ketika diperiksa.

“Kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine, Pakistan, Iran, Georgia, India, Filipina
dan Russia berumur lingkungan 27 hingga 53 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran atau kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak.-KOSMO! ONLINE

The post Dua kapal asing ‘keras kepala’ berlabuh secara haram ditahan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*