Dun Selangor Tidak Akan Dibubar Sebelum Aidilfitri- MB Selangor

Dun Selangor Tidak Akan Dibubar Sebelum Aidilfitri- MB Selangor

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan sebelum sambutan Aidilfitri ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

“Saya boleh bayangkan (pembubaran DUN) tidak dalam masa terdekat…boleh katakan sebelum raya (Aidilfitri) tidak ada pembubaran. Ini yang boleh saya sahkan untuk Selangor,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Enam negeri yang akan terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pahang menubuhkan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Penubuhan majlis perundingan yang dipengerusikan bersama Pengerusi BN negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Amirudin selaku Pengerusi PH Pahang dicapai pada perbincangan kedua-dua parti terlibat malam tadi.

Wan Rosdy dan Amirudin dalam kenyataan bersama hari ini berkata majlis perundingan itu akan menjadi platform perbincangan dan rundingan dasar ke arah menyelesaikan isu rakyat supaya dapat menjamin keutuhan dan kestabilan kerajaan perpaduan Pahang untuk sepenuh penggal.

“Kedua-dua parti turut bersetuju untuk mengadakan pertemuan secara berkala bagi membincangkan gerak kerja secara bersama agar selari dengan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

BN dan PH bersetuju membentuk kerajaan negeri selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada blok parti yang memperoleh majoriti mudah 22 kerusi DUN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

PRU15 menyaksikan BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi DUN, manakala PH menang di lapan kerusi DUN.

— BERNAMA

BACA: PH Sedia Bincang Dengan BN Hadapi PRN Selangor Tahun Depan – Amirudin

Sumber: Bernama

The post Dun Selangor Tidak Akan Dibubar Sebelum Aidilfitri- MB Selangor appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*