Edar Dadah Dalam Kompleks Penjara, Warden Ke Tali Gantung

warden ke tali gantung

Edar Dadah Dalam Kompleks Penjara, Warden Ke Tali Gantung

SHAH ALAM, (Bernama) — Seorang warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kes Bunuh Di Tawau Bermotif Cemburu – Polis

The post Edar Dadah Dalam Kompleks Penjara, Warden Ke Tali Gantung appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*