Elak Rakam Orang Untuk ‘Content’ Sendiri, Silap Haribulan Boleh Berdepan Penjara, Denda Hingga RM50k

rakam content orang

Dengan zaman teknologi yang canggih ini, ramai yang mengambil peluang berebut nak jadi content creator. Disebabkan kuasa viral, kalau boleh semua nak jadi orang paling cepat kongsi sesuatu berita, biar tular walaupun belum tentu kesahihannya.

Bila terjadi sesuatu, benda pertama sekali mereka buat adalah mengeluarkan handphone dan rakam. Tak kisahlah ada kemalangan, kebakaran ataupun pergaduhan, kalau boleh semua benda nak rakam dan tularkan jadi bahan berita. Untung-untung, video yang dikongsikan tu jadi trending dan pemuat naik famous seketika.

Lebih mengeruhkan keadaan, bila ada pemuatnaik yang buat jalan cerita sendiri untuk dikongsikan kepada penonton. Maka penonton pun berduyun-duyun sebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya. Sedar tak sedar, dah terkongsi berita palsu.

Awas ya, nampak simple, tapi sebenarnya korang berpotensi masuk penjara kalau buat dua perkara ni di media sosial, iaitu sebar berita palsu & kongsikan kandungan jelik. Korang boleh didakwa bawah Akta Komunikasi & Multimedia (AKM) 1998 serta bakal berhadapan denda dan hukuman penjara hingga setahun.

Nak viral punya pasal, sanggup kongsi berita palsu

Sebelum ini, pernah tular di media sosial berkenaan seorang artis yang didakwa berhadapan masalah keluarga yang membuatkan dia berjalan tanpa hala tuju. Khabar angin itu bermula apabila ada individu yang merakam video live artis terbabit serta mendakwa artis tersebut mempunyai masalah keluarga dan memerlukan bantuan orang ramai. Sehingga kini, video tersebut mendapat lebih 400 ribu tontonan.

Dakwaan itu kemudiannya tular ke media sosial yang lain sekaligus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat. Tak kurang juga ada yang membuat spekulasi sendiri selain menjadikannya bahan jenaka.

Selain itu, ada juga individu yang sanggup bertindak di luar kawalan dengan mengwar-warkan kematian artis atau keluarga artis sedangkan individu tersebut masih hidup. Hal ini pastinya memberi kesan kepada ahli keluarga mereka yang terlibat dan silap hari bulan, individu yang menyebarkan berita palsu itu berhadapan saman daripada keluarga mangsa.

Bukan itu sahaja, ada juga individu yang menyebarkan kandungan jelik dan lucah untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Mungkin bagi pemuat naik itu, ia adalah bahan lawak tetapi sekiranya ditelusuri dengan betul, perkara yang melibatkan lucah tidak pernah sesekali kelakar dan berguna untuk awam.

Penjara satu tahun, denda 50 ribu jika didapati bersalah

Sekiranya individu terbabit didapati bersalah memuat naik Kandungan jelik dan menyebarkan berita palsu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia (AKM) 1998.

Pesalah juga akan dikenakan denda maksimum RM50K atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Untuk peringatan, mangsa yang difitnah juga boleh mengambil tindakan dengan membuat saman fitnah kepada pemuat naik kandungan.

Oleh yang demikian, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati sebelum berkongsi di media sosial. Sekiranya hanya mendengar khabar angin, elakkan untuk memuat naik atau berkongsi kandungan yang tidak pasti.

Elakkan untuk membuat kenyataan mengelirukan demi meraih perhatian umum dan apabila menerima berita tidak pasti, pastikan korang buat semakan fakta terlebih dahulu melalui Sebenarnya.my.

Nota:

Artikel ini dibawakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Kredit: MCMC

The post Elak Rakam Orang Untuk ‘Content’ Sendiri, Silap Haribulan Boleh Berdepan Penjara, Denda Hingga RM50k appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*