Kuala Lumpur: Status sebagai pemenang pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo bukanlah tiket buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendapat laluan mudah untuk berada di kedudukan podium di Paris esok.
Hal ini kerana, walaupun tanpa kehadiran penyandang juara dua kali, Jason Kenny dari Great Britain, Azizulhasni tetap dicabar hebat sekurang-kurangnya empat peserta lain yang mempunyai reputasi besar dalam acara keirin individu lelaki.
Kenny yang mendominasi acara itu dalam dua edisi terakhir Olimpik iaitu di Rio de Janeiro pada 2016 dan Tokyo 2020 mengumumkan persaraannya pada Februari 2022.
Pada final keirin di Tokyo, Kenny yang mengumpul tujuh emas Olimpik sepanjang kerjayanya melakukan pecutan sejak awal perlumbaan dan meninggalkan jauh pencabarnya untuk membawa pulang emas.
Ini termasuklah Azizulhasni yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk meraih perak. Kali ini, Azizulhasni perlu bersedia daripada pelbagai aspek untuk menangani beberapa cabaran pelumba utama dunia lain yang mampu meleburkan impiannya bagi menghadiahkan emas sulung kontinjen Malaysia di pentas Olimpik.
Antara yang dilihat sebagai pencabar utama adalah pelumba Belanda, Harrie Lavreysen. Levreysen adalah bekas juara dunia tiga kali keirin (2020, 2021 dan 2022) selain memenangi gangsa ketika Olimpik Tokyo, tiga tahun lalu.
Selain Lavreysen, juara dunia yang baharu dari Colombia, Kevin Quintero turut dinamakan antara pencabar emas keirin di Paris. Quintero mencipta kejutan apabila merakam kejuaraan dunia pertama acara itu di Glasgow, Scotland, tahun lalu sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang sekadar meraih gangsa pada 2022 di Paris.
Ketiadaan Kenny menyaksikan Jack Carlin menjadi taruhan terbaru Great Britain yang turut diletakkan sebagai pencara kejuaraan pada Olimpik kali ini.
Carlin berjaya memenangi dua pingat ketika Olimpik Tokyo apabila meraih perak dalam acara pecut individu dan gangsa pecut berpasukan.
Dia juga berjaya meraih perak dalam acara berpasukan di Olimpik Paris, Selasa lalu. Seorang lagi pelumba yang turut diletakkan pencabar utama emas keirin adalah Matthew Richardson dari Australia. Richardson adalah naib juara dunia di Glasgow, tahun lalu dan dia turut membantu Australia meraih gangsa acara pecut berpasukan pada Olimpik Paris kali ini.
sumber: HM
Azizulhasni bersama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan memulakan cabaran dalam keirin esok di Velodrom Saint Quentin en Yvelines.
Kedua-dua pelumba sebelum ini beraksi dalam acara pecut individu tetapi Azizulhasni terkandas di pusingan ketiga manakala Shah Firdaus terkandas dalam perlumbaan repechage pusingan pertama.