EPL: Arsenal sedia tamatkan penantian

LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mencabar para pemainnya untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha untuk pasukan itu mencatat kemenangan pertama di Stadium Tottenham Hotspur menjelang aksi derbi utara London awal pagi esok menentang skuad kendalian Antonio Conte itu.

Arsenal gagal dalam misi untuk meraih kemenangan di laman musuh setempatnya itu sebanyak empat kali dalam 10 pertemuan terakhir mereka termasuk mengalami tiga kekalahan dan satu keputusan seri.

Sepanjang mengemudi The Gunners, Arteta sudah berjaya menikmati kemenangan di ge­langgang beberapa pasukan gergasi lain termasuk di Stamford Bridge dan Old Trafford, namun masih belum mengecapi kejayaan di laman seterunya itu.

Kali terakhir Arsenal menca­tat kejayaan di White Hart Lane adalah ketika aksi Liga Perdana Inggeris pada 16 Mac 2014 dan ketika itu Arteta masih lagi menjadi seorang pemain di bawah kendalian Arsene Wenger.

“Ia menjadi gelanggang yang kami sudah lama tidak menikmati kemenangan. Saya mahu melakukannya untuk sekurang-kurangnya sekali. Kami gagal melakukannya sebelum ini dan ia menjadi cabaran hebat serta peluang terbaik untuk kami cuba meraih keputusan positif.

“Saya fikir emosi pemain berada pada tahap terbaik, kami sangat teruja dan menikmati aksi dengan baik serta berada pada kedudukan terbaik. Kami cuma perlu meningkatkan beberapa aspek dan mengekalkan pencapaian yang telah kami lalui ketika ini,” jelasnya.

Berdasarkan prestasi semasa, Arsenal mungkin mampu mengulangi pencapaian musim 2013/14 lalu apabila mencatat kemenangan dalam kedua-dua aksi liga bagi musim yang sama ke atas Spurs.

“Ia merupakan salah satu aksi terbesar buat pasukan ini. Kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini untuk pasukan dan peminat. Kami perlu fokus untuk memberikan aksi terbaik dan melakukan apa sahaja untuk menang,” jelasnya. – AGENSI

The post EPL: Arsenal sedia tamatkan penantian appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*