Filem Biopik Michael Jackson Bakal Diterbitkan, Watak Mendiang Dilakonkan Oleh Anak Saudara 

AMERIKA SYARIKAT — Anak saudara Micheal Jackson, Jaafar Jackson dilaporkan bakal berperanan sebagai bintang pop itu dalam filem biopik, Michael, maklum Studio Lionsgate pada Isnin.

Memetik CNN, beliau dalam satu hantaran di Twitter turut memaklumkan bahawa dengan rasa rendah diri dan berbesar hati untuk menghidupkan semula kisah bapa saudaranya itu.

Tambahan lagi, filem itu merupakan arahan Antoine Fuqua dan diterbitkan oleh Graham King manakala jalan cerita pula ditulis oleh calon tiga kali Anugerah Oscar, John Logan.

Dalam pada itu, Graham menjelaskan bahawa sepanjang melakukan pencarian untuk watak itu, hanya Jaafar yang secara semula jadi memiliki personaliti dan keperibadian Michael.

“Saya terpikat dengan keperibadian yang ada padanya (Jaafar). Jelas, dia merupakan satu-satunya orang yang tepat untuk memegang peranan ini. Saya teruja kerana dia mahu bekerjasama dalam mengembalikan semula era kegemilangan bapa saudaranya.

“Tambahan lagi, dia juga tidak sabar melihat dirinya sebagai Michael Jackson pada skrin besar di seluruh dunia,” jelasnya.

Sementara itu, ahli keluarga mendiang turut memberikan sokongan dengan pemilihan pelakon dalam produksi berkenaan termasuk anak lelaki mendiang.

Menurut ahli keluarga itu dalam satu kenyataan, filem yang bertajuk “Michael” itu bakal dilancarkan dengan hasil kerjasama ahli keluarga dan harta pusaka milik mendiang.

“Ia bertujuan untuk menceritakan perjalanan hidup secara terperinci mengenai Michael yang pernah menjadi Raja Pop suatu ketika dahulu,” lapor kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, anak mendiang, Prince turut meluahkan rasa gembira berhubung filem itu dalam satu hantaran di Instagram.

“Sejujurnya saya amat gembira dan bangga dengannya (Michael), dia telah bekerja keras dan saya tahu bahawa dia melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Saya yakin kita semua dapat melakukan yang terbaik untuk menunjukkan kepada dunia walaupun terdapat sebahagian orang yang masih belum mengenali ayah saya dan mereka patut mengenalinya,” luahnya di platform tersebut.

Antara lagu Michael Jackson yang pernah menjadi kegilaan peminat termasuklah Thriller, Smooth Criminal dan Billie Jean.

Mendiang meninggal dunia pada tahun 2009 di usia 50 tahun.

Sumber: CNN

The post Filem Biopik Michael Jackson Bakal Diterbitkan, Watak Mendiang Dilakonkan Oleh Anak Saudara  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*