Final Piala FA hilang seri

Kuala Lumpur: Kemenangan besar Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-1 ke atas Selangor FC di final Piala FA, Sabtu lalu, membuktikan pasukan Harimau Selatan itu berada di satu tahap lebih tinggi berbanding pasukan lain.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, JDT jelas lebih unggul dan berada pada tahap berbeza berbanding pasukan lain di Liga Malaysia ketika ini.

“Mana-mana pasukan, dia (JDT) menang dengan jaringan agak besar dan hanya PDRM FC sahaja (saingan Liga Super) setakat ini yang mampu seri lawan mereka.

“Kedah Darul Aman pun kena 3-0 (agregat 5-1) sewaktu separuh akhir Piala FA.

“Pasukan JDT ini boleh katakan sempurnalah dari penjaga gol hingga ke bahagian penyerang. Jadi, pasukan lain yang akan berhadapan mereka perlu buat persediaan lebih baik.

“Untuk perlawanan akhir itu saya nampak dia hilang seri kerana keputusan akhir sepatutnya betul-betul seri (pemenang ditentukan melalui sepakan penalti), 1-0 atau 2-1,” katanya kepada Arena Metro.

Sehubungan itu, Jamal Nasir berkata, Selangor FC perlu menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk melakukan ‘kerja rumah’ bagi menyediakan pasukan bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL) II yang bermula 17 September depan.

Beliau berkata, apa yang terjadi di final Piala FA Sabtu lalu, harus dijadikan pengajaran dan sebagai pengukur terbaik bagi melihat serta memperbaiki segera segala kekurangan di dalam skuad Merah Kuning.

Jelasnya, untuk bermain di peringkat Asia, sesebuah pasukan itu harus bersedia dari pelbagai aspek agar mereka mampu memberi saingan dan mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan itu nanti.

sumber: HM

“Selangor boleh tengok apa yang perlu diperbaiki untuk melangkah ke ACL II kerana cabarannya lebih kompetitif berbanding di liga tempatan.

“Selangor harus bersedia lebih rapi dan mereka masih ada masa untuk baiki semua ini. Bila pergi ke AFC atau ACL II, persediaan itu perlu tiga kali ganda terutama dari segi kecergasan, ketahanan mental dan fizikal. Semua itu kena diambil kira,” katanya.