Gagal sedia mas kahwin RM21,198, punca keluarga perempuan batal nikah

JAKARTA – Gara-gara gagal menyerahkan mas kahwin sebanyak 75 juta rupiah (RM21,198), sepasang kekasih di Indonesia terpaksa akur untuk berpisah selepas keluarga bakal pengantin perempuan membatalkan majlis perkahwinan mereka, lapor portal berita Wolipop semalam.

Berdasarkan kisah yang tular di laman TikTok itu, gadis berasal dari wilayah Sulawesi Barat, Marwana Nareswari mendedahkan bahawa dia dan tunangnya terpaksa membatalkan perkahwinan kerana kedua-dua keluarga lebih mementingkan adat.

Menurut Marwana atau lebih gemar disapa Awa, dia dan bekas tunangnya telah menyiapkan semua persiapan perkahwinan bahkan, gambar praperkahwinan juga telah dirakam.

Awa berkata, ketika bekas tunang dan keluarga datang menemui keluarganya, ibu bapanya menentukan mas kahwin sebanyak 75 juta rupiah (RM21,198) memandangkan gadis tersebut berdarah  Sulawesi.

“Rupa-rupanya, jumlah mas kahwin itu membuatkan keluarga calon suami saya terkejut. Ini kerana keluarga mereka berasal dari Jawa dan jumlah mas kahwin yang kami tetapkan dianggap amat tinggi.

“Mereka juga menyangkakan bahawa mas kahwin sekitar 5 juta rupiah (RM1,413) mungkin sudah cukup untuk diserahkan, namun keadaan berbeza bagi penduduk Sulawesi,” jelasnya.

Awa dan bekas tunangnya kemudian mula bimbang kerana menjelang tarikh perkahwinan asal mereka iaitu 9 September 2022, tiada khabar diterima daripada keluarga lelaki itu.

Menurut Awa,  keluarganya turut berasa malu kerana mereka banyak menerima tanggapan negatif daripada orang ramai disebabkan majlis perkahwinan tidak berlangsung pada tarikh dirancang.

Selepas majlis ditunda ke 7 Januari 2023, Awa berkata, keluarga bekas tunangnya akhirnya pergi menemui mereka di Sulawesi tanpa membawa wang mas kahwin yang diminta untuk diserahkan. 

Tidak cukup dengan itu, bekas tunangnya juga jatuh sakit serta hanya mampu menyerahkan 20 peratus daripada jumlah mas kahwin yang ditetapkan.

Keadaan itu membuatkan keluarga Awa marah lalu mengusir keluarga bekas tunangnya serta membatalkan pernikahan mereka.

“Kita seeloknya memudahkan urusan mas kahwin dan majlis perkahwinan. Bagi calon pengantin, ibu bapa dan mentua, seeloknya mas kahwin perlu ditetapkan pada kadar sewajarnya mengikut keadaan dan jangan dipaksa jika tidak mampu.

“Kita mencari keberkatan dan reda Allah, bukan reda manusia,” katanya. – Agensi

The post Gagal sedia mas kahwin RM21,198, punca keluarga perempuan batal nikah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*