Gempa Turkiye, Syria: PM Anwar Cadang Kurnia Pingat, Elaun Khas Kepada Petugas SMART

kurnia pingat petugas SMART

Gempa Turkiye, Syria: PM Anwar Cadang Kurnia Pingat, Elaun Khas Kepada Petugas SMART

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan supaya semua petugas Pasuka Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dsn Syria diberikan elaun khas.

Anwar berkata ia termasuk memberikan sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terlibat.

“Saya akan bincang dengan Perbendaharaan (mengenai kadar bayaran) mengikut tempoh mereka bertugas,” kata ketika pada sesi Penerangan Menteri-Menteri di bawah Peraturan 14 (1)(i) berhubung lawatan ke Turkiye pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Isnin lepas, Anwar berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau telah memberi persetujuan supaya pasukan SMART yang sepatutnya berada hanya dua minggu di sana (Turkiye) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka atas permintaan Erdogan.

Pelanjutan tempoh itu katanya perlu, kerana masih terdapat ribuan jenazah mangsa yang tertimbus dan memerlukan masa serta lebih tenaga manusia untuk mengeluarkan mangsa.

Menjelas lanjut, mengenai penghargaan kepada anggota SMART, Anwar berkata anggota terlibat berkhidmat tanpa mengeluh walaupun dalam keadaan cuaca sejuk.

“Tidak pernah lagi anggota kita bekerja dalam cuaca sejuk. Sepanjang beberapa jam saya bercakap dengan ratusan mereka, tidak ada yang mengeluh keletihan, begitu juga soal makan minum kerana mereka makan kebanyakannya makanan dalam tin. Malah mereka bersyukur dapat bekerja, berkhidmat dengan baik dan solat berjemaah.

“Saya sangat terasa, tanpa pakaian yang lengkap, walaupun dalam keadaan letih lesu mereka terus berkhidmat dengan cemerlang.

“Inilah yang menyebabkan saya terdorong menyampaikan penerangan ini di Parlimen supaya semua tahu bahawa mereka perlu diberikan penghargaan,” katanya.

Anwar berkata kekuatan Team Malaysia yang berada di Ground Zero di bawah SMART adalah seramai 140 anggota manakala 110 anggota berada di Hospital Medan di Adiyaman.

Perdana Menteri sekali lagi menyampaikan ucapan penghargaan kerajaan Turkiye kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan serta Parlimen Malaysia atas bantuan dan ucapan takziah untuk mangsa, selain memuji kecekapan pasukan SMART.

Menjawab dakwaan pihak tertentu terhadap tindakan kerajaan yang dilihat ‘berlebihan’ untuk membantu Turkiye, Anwar menjelaskan bantuan yang disalurkan kepada negara itu kerana mengambil kira skala besar kerosakan akibat bencana itu yang disifatkan jarang berlaku.

“Apa yang kita saksikan (kesan) di sana adalah luar biasa, kalau ikut liputan media dan melalui taklimat yang disampaikan gegaran itu melebihi (gegaran) bom Hiroshima dan Nagasaki di Jepun (pada Perang Dunia ke-2) ,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata bantuan diberikan juga adalah atas dasar persahabatan yang istimewa bukan sahaja yang bersifat peribadi malah hubungan istimewa antara dua negara.

“Ketiganya, maklumat yang kurang diketahui, sebenarnya Turkiye sebelum ini memberi bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada usaha kerajaan termasuk kepada syarikat milik kerajaan di negara itu yang mencecah ratusan juta ringgit, ini jarang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan negara lain,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini, beliau akan mencadangkan tambahan bantuan kemanusiaan dari kerajaan Malaysia kepada kepada dua negara terlibat, memandangkan situasi di sana masih gawat.

Perdana Menteri turut memaklumkan jumlah dana kemanusiaan terkumpul kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini berjumlah RM50 juta.

Sumber: BERNAMA

The post Gempa Turkiye, Syria: PM Anwar Cadang Kurnia Pingat, Elaun Khas Kepada Petugas SMART appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*