Geragau makin pupus punca stok belacan Melaka kurang

MELAKA – Jualan cencaluk dan belacan di beberapa gerai di sepanjang jalan di Klebang di sini, tidak lagi semeriah dahulu apabila produk yang popular di negeri ini semakin berkurangan.

Ini disebabkan bekalan udang geragau yang menjadi bahan utama pembuatan cencaluk dan belacan semakin ‘kritikal’.

Tinjauan Kosmo! di sepanjang Pantai Puteri yang menjadi lokasi utama menyungkur geragau juga sepi dengan kegiatan itu.

Seorang peraih, Majid Baba, 57, berkata, lebih 130 peraih geragau kini tidak sanggup untuk turun ke laut gara-gara hasil yang tidak setimpal, malah ada masanya geragau yang mampu diperoleh hanya segenggam tangan.

“Pada 20 tahun lalu, hasil ge­ragau memang lumayan, sekali naik, beratnya boleh cecah 200 kilogram (kg) setiap peraih.

“Sekarang dua jam turun, ha­nya dapat segenggam tangan, memang susah nak dapat geragau, paling banyak pun setakat 4 kg sahaja, yang lain sekadar ‘tolak air’,” katanya ketika ditemui di pengkalan nelayan Pantai Puteri, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia yang juga pengusaha cencaluk hanya dapat memproses sekitar 10 botol produk itu, berbanding 100 botol pada empat tahun lalu.

“Permintaan banyak, tetapi geragau pula tiada. Sekarang bekalan cencaluk atau belacan memang kritikal, yang dijual di tepi-tepi jalan di Klebang itu kebanyakan produk dari Kukup (Pontian, Johor), bukan sini, jadi baunya lain.

“Nak botolkan tak cukup, nak jual basah pun tak cukup, kalau dapat geragau 4 kg, dapatlah saya duit makan RM40, kerana harga sekilogram geragau ini adalah RM10,” ujarnya.

Geragau

Dakwanya, selain cabaran geragau yang datang secara bermusim dan projek penambakan laut, kemerosotan itu berpunca daripada pembinaan batu pemecah ombak yang dibina di sepanjang lima kilometer di pantai tersebut.

Sementara itu, Sabtu Hassan, 57, pula berkata, pembinaan batu pemecah ombak yang dibina pada jarak kira-kira 300 hingga 400 meter itu menyebabkan ­ruang menyungkur semakin pendek sehingga peraih terpaksa bergilir untuk turun ke laut.

“Dahulu kita boleh menyungkur terus menerus di sepanjang pantai ini, sekarang jarak menyungkur semakin pendek dan kami terpaksa bergilir untuk mencari geragau kerana ruang yang terhad.

“Lagipun batu tersebut tidak berkesan sebagai pemecah ombak kerana dia dibina secara menegak, ia sekadar menahan arus, semua geragau yang hanyut ke pantai ditolak semua ke laut memanglah hasilnya sedikit,” luahnya.

Jelasnya, di pantai itu terdapat lebih 130 peraih geragau dan jumlah itu meningkat apabila peraih dari kawasan lain termasuk dari Tanjung Bidara, Alor Gajah turut mencari rezeki di situ.

Sarip Arshad, 69, pula memberitahu, dia melakukan pekerjaan menyungkur itu sejak di usia 20-an dan membesarkan tujuh anaknya hasil pendapatan geragau.

“Menyungkur ini pekerjaan yang diwarisi dari generasi ke generasi dan saya merupakan generasi kedua selepas bapa.

“Namun, kini saya tidak beri anak saya menyungkur kerana memang tidak cukup untuk menampung kehidupan, apabila hasil pun sekadar segenggam tangan, siapa lagi yang ingin meneruskan pekerjaan tradisi ini?” katanya.

Ujarnya, dia tidak menolak pekerjaan menyungkur geragau itu akan terus dilupakan oleh generasi masa hadapan sekiranya bekalan geragau tidak dipu­lihkan.

The post Geragau makin pupus punca stok belacan Melaka kurang appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*