Google Chrome Dilapor Bakal Tamatkan Sokongan Untuk Windows 7 & Windows 8 Mulai Minggu Depan

Google Chrome Dilapor Bakal Tamatkan Sokongan Untuk Windows 7 & Windows 8 Mulai Minggu Depan

Syarikat teknologi terkemuka dunia, Google telah mengumumkan bahawa ia akan menamatkan sokongan Chrome bagi Windows 7 dan Windows 8/8.1 mulai minggu hadapan.

Memetik laporan Metro UK, Google pada mulanya mempunyai rancangan untuk menamatkan sokongan tersebut pada 15 Julai 2021, namun disebabkan wabak COVID-19 ia telah ditunda kepada tarikh baru iaitu 15 Januari 2022 yang kemudiannya ditukar sekali lagi kepada 10 Januari 2023.

Menurut Pengurus Sokongan Google Chrome, Chrome 109 akan menjadi versi terakhir yang bakal menyokong dua versi Microsoft Windows lama tersebut.

“Chrome 109 ialah versi terakhir yang akan menyokong Windows 7 dan Windows 8/8.1.

“Manakala Chrome 110 yang telah dijadualkan sementara untuk dikeluarkan pada 7 Februari 2023 ini merupakan versi pertama Chrome yang memerlukan Windows 10 atau lebih baru.

“Anda perlu memastikan peranti anda menggunakan Windows 10 atau versi yang lebih baru untuk terus menerima keluaran Chrome yang baru pada masa hadapan,” jelasnya.

Walaupun Windows 7 sudah lama beroperasi, namun ia masih lagi digunakan oleh jutaan pengguna komputer di seluruh dunia.

Menurut statistik daripada NetMarketShare.com, 14 peratus daripada peranti Windows global masih menggunakan Windows 7 pada Disember 2021.

Dalam pada itu, Google turut menambah bahawa versi Chrome yang lebih lama akan terus berfungsi, namun tiada kemas kini lanjut yang akan dikeluarkan kepada pengguna pada sistem pengendalian ini.

“Jika anda menggunakan Windows 7 dan Windows 8/8.1 pada masa ini, kami menggalakkan anda supaya beralih ke versi Windows yang disokong bagi memastikan anda terus menerima kemas kini keselamatan dan ciri Chrome yang baru,” tambah syarikat itu.

Pada November 2020, pengarah kejuruteraan Google Chrome, Max Christoff turut menjelaskan bahawa perpindahan ke Windows 10 merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju organisasi tersebut.

Sumber: Metro UK

The post Google Chrome Dilapor Bakal Tamatkan Sokongan Untuk Windows 7 & Windows 8 Mulai Minggu Depan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*