Guna video bantuan jika pengadil tiada kualiti

WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

HARAPAN ribuan peminat bola sepak untuk menyaksikan teknologi dan sistem video bantuan pengadil (VAR) untuk digunakan dalam kempen Liga Malaysia bermula musim ini semakin hampir menjadi kenyataan.

Sejak diperkenalkan secara rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2018, VAR telah memberikan impak tersendiri dalam memastikan corak permainan sukan No. 1 dunia itu sesuai dengan peredaran zaman.

Harus diakui, VAR juga tidak lekang dengan beberapa keputusan kontroversi yang dibuat khususnya ketika penganjuran Piala Dunia 2018 sebelum teknologi itu ditambah baik pada Piala Dunia 2022 yang dilihat ‘bebas’ daripada sebarang isu berbangkit.

Desakan terhadap penggunaan teknologi VAR daripada peringkat tempatan juga telah digesa oleh banyak pihak sejak penghujung tahun lalu selepas beberapa perlawanan terpalit dengan kontroversi hasil kekhilafan pengadil perlawanan.

Selain itu, penganjuran final Piala AFC 2022 melibatkan Kuala Lumpur City (KL City) menentang kelab Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil juga telah memahat sejarah tersendiri apabila VAR digunakan di bumi Malaysia buat pertama kali.

Situasi ini menyaksikan Malaysia tidak mempunyai masalah dari segi infrastruktur untuk memastikan sistem itu boleh diguna pakai dengan sempurna.

Di peringkat Asia Tenggara, Liga Thailand menggunakan sistem VAR menerusi saingan liga utama sejak 2020 disusuli dengan Vietnam dan Singapura.

Justeru, apa yang dimahukan oleh peminat untuk menyaksikan VAR digunakan dalam Liga M hanya disebabkan mahu menyaksikan perlawanan dapat diadili dengan lebih telus.

Perkembangan semakin positif apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah bersetuju untuk melaksanakan VAR menerusi ciapan ringkas baru-baru ini.

Respons Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin juga cukup baik dengan memberi bayangan VAR tidak digunakan sepenuh­nya musim ini, sebaliknya pada beberapa perlawanan penting.

“Secara peribadi, saya sudah berbincang dengan Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan dan Insya-Allah kita akan buat pengumuman.

“VAR akan bermula tahun ini jika semuanya berjalan lancar tetapi bukan untuk semua perlawanan. Mungkin tahun ini suku akhir, separuh akhir dan dan final Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kita tak boleh bermula di pe­ringkat liga kerana libatkan kos.

“Apa yang penting, kita juga telah menghantar pengadil untuk jalani latihan VAR ketika ini dan peminat perlu bersabar sedikit sahaja lagi,” katanya.

Berita tersebut disambut de­ngan ‘tangan terbuka’ oleh pe­nganilis sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli yang beranggapan kualiti pengadilan yang tidak konsisten boleh dipertingkatkan dengan penggunaan VAR.

“Kita boleh lihat kualiti yang agak teruk daripada aspek pe­ngadilan sejak beberapa musim lepas menjadi punca peminat melaungkan desakan untuk VAR digunakan secepat mungkin.

“Saya anggap perkembangan terbaru ini cukup positif kerana VAR penting untuk memastikan perlawanan berakhir tanpa sebarang kontroversi seperti pe­ringkat suku akhir hingga ke final Piala Malaysia dan Piala FA.

“Saya suka lihat jika ia digunakan bagi beberapa perlawanan pilihan saingan Liga Super melibatkan perlawanan kompetitif pasukan berskala gergasi jika FAM dan MFL berkemampuan.

“Apapun, saya tidak mahu menyalahkan pengadil tempatan semata-mata kerana prestasi yang dipamerkan oleh pengadil dari Jepun dan Korea Selatan pada kejohanan Piala AFF baru-baru ini juga tidak konsisten.

“Justeru, tiada jalan lain ke­rana VAR akan membantu bola sepak ke arah yang lebih mo­den agar semua pengadil dapat membuat keputusan yang baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

 

The post Guna video bantuan jika pengadil tiada kualiti appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*