Hafizh tuntut jentera terbaik hadapi WSBK musim 2023

PETALING JAYA: Hafizh Syahrin Abdullah mendapat tonik terbaik untuk menghadapi musim 2023 apabila dijanjikan jentera baharu oleh pa­sukannya, MIE Honda Racing bagi mengharungi Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) yang membuka tirai 24 Februari depan.

Kegagalan jenteranya berfungsi di tahap optima me­nyaksikan Hafizh banyak berputih mata pada musim pertama di pentas WSBK apabila sekadar menghabiskan saingan di tangga ke 24 setelah mengumpul 10 mata.

Bagaimanapun Hafizh yang meneruskan khidmatnya bersama pasukan Jepun itu dijanjikan jentera serta sistem penalaan yang baharu bagi membantu mencapai misi 10 terbaik yang pernah disasarkannya sebelum ini.

“Saya berterima kasih pasukan terus menaruh kepercayaan untuk tahun kedua kerana saya memang memberi komitmen tinggi dan sedia memberikan komen jujur tentang apa yang diperlukan pasukan untuk mempertingkatkan prestasi, dan mereka juga dapat mene­rimanya.

“Kita memerlukan pakej lebih baik, misalnya jika kita menggunakan jentera Honda, kita perlu setidaknya-tidak­nya menyamai spesifikasi dan pakej pasukan utama (pengeluar), dan itu juga janji pasukan kepada saya tahun ini. Itu ­faktor utama saya menyambung kontrak dengan pasukan.

HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH

“Saya mungkin akan dapat menguji jentera baharu bulan ini ketika sesi ujian rasmi di Portimao, Portugal dan sete­rusnya mungkin dapat me­ngujinya lagi di Phillips Island, Australia sebelum saingan bermula, jadi saya harap dapat melakukan yang terbaik,” kata Hafizh.

Menurut Hafizh, dia kini sudah memahami lebih mendalam tentang perlumbaan di WSBK dan ia dirasakan sangat berharga dalam usaha untuk dia meneruskan perjalanannya di pentas itu untuk 2023.

Hafizh sebelum ini menghabiskan 10 tahun beraksi dalam Moto2 dan MotoGP, malah pernah meraih podium dua kali pada 2017 bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia.

“Kalau nak ikutkan dari awal musim 2022 saya dah ada keyakinan kerana kebanyakan pelumba yang bersaing dengan saya di WSBK, pelumba sama yang pernah bersaing dalam Kejohanan MotoGP dunia.

“Ada antara mereka saya pernah tewaskan dan berikan saingan, jadi saya harap pakej yang saya terima nanti mampu membantu saya meningkatkan prestasi,” ujarnya.

The post Hafizh tuntut jentera terbaik hadapi WSBK musim 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*