KUALA LUMPUR: Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente lulus ujian sulung, sekali gus membawa Harimau Malaya ke pentas akhir dan akan berdepan Lubnan, Ahad ini.
Pengendali dari Sepanyol itu kini berpeluang untuk mengatasi pencapaian bekas bosnya, Kim Pan Gon sekiranya berjaya menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024.
Malah, kemenangan itu juga diraih ketika Harimau Malaya beraksi tanpa kehadiran Ultra Malaya yang memboikot kejohanan itu dengan jumlah penonton juga tidak diumumkan seperti aksi sebelum ini.
Pada aksi itu, Filipina terlebih dahulu mencemaskan kubu Malaysia seawal minit pertama, namun Harimau Malaya bernasib baik apabila rembatan Dylan Demuynck diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Harimau Malaya yang dilihat beraksi kurang teratur berbanding persembahan mereka sebelum ini turut melakukan beberapa percubaan ke kubu lawan selepas itu namun gagal menemui jaringan.
Sebaliknya, Filipina yang berada di ranking ke-147 dunia berjaya mengejutkan Harimau Malaya selepas rembatan Jefferson Tabinas terkena kaki Feroz Baharudin sebelum menerjah jaring pada minit ke-27.
Ketika babak pertama berbaki dua minit, Syamer Kutty Abba melegakan kem Harimau Malaya apabila merembat masuk gol penyamaan selepas menerima umpanan daripada Feroz.
Pemain gantian, Safawi Rasid kemudian meletakkan Harimau Malaya di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan Matthew Baldisimo.
Situasi tegang berlaku lima minit selepas itu apabila pemain pertahanan Filipina, Paul Tabinas melakukan tindak balas selepas dikasari Arif Aiman, namun ketegangan itu dapat dikawal.
Permainan tetap terus rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling menyerang, namun tiada tambahan jaringan hingga tamat perlawanan.
sumber: BH
Untuk rekod, Harimau Malaya yang dibawah kendalian Pan Gon muncul naib juara pada Pestabola Merdeka 2023 apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan di final.