Harimau Malaya Nekad Singkir Singapura

Harimau Malaya Nekad Singkir Singapura

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Kapten pasukan negara, Mohamad Faisal Abdul Halim melaungkan amaran Malaysia akan bermati-matian memburu tiga mata pada aksi penentuan Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Singapura, malam esok.

Mohamad Faisal berkata pasukan negara sangat bermotivasi untuk menghadapi pertembungan perlawanan ‘Derbi Seberang Tambak’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil. di sini. selepas bangkit daripada kekecewaan tewas 3-0 kepada Vietnam, di Hanoi, minggu lepas.

“Selepas pulang dari Vietnam semua pemain sangat ‘down’, barisan kejurulatihan nampak perkara itu dan selepas dua hari baru kami dapat ‘mood’ yang baik dan kembali bersemangat.

“Apa yang saya katakan pada rakan sepasukan ialah esok perlawanan penting di laman sendiri dan kita tak boleh kalah (kerana) keluarga dan penyokong tengok, takkan kita dengan mudah nak bagi pihak lawan ambil (tiga mata) di sini,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini, hari ini.

Pemain baharu Selangor FC itu berkata beliau dan rakan sepasukan hairan bagaimana Singapura mampu meraih keputusan seri tanpa jaringan berdepan Vietnam, Jumaat lepas, tatkala Malaysia tewas 0-3 kepada skuad ‘Golden Star Warriors’ itu.

Katanya, keputusan seri itu memberi tekanan kepada Malaysia, namun tetap optimis pasukan negara berpeluang untuk meraih kemenangan jika berjaya tampil berdisiplin dalam melaksanakan arahan jurulatih serta taktikal yang akan diterapkan.

Beliau turut menjadikan perlawanan antara Malaysia dan Turkmenistan pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 Jun lepas sebagai contoh di mana semangat dan disiplin pemain menjadi kunci kejayaan pasukan mencatat kemenangan bergaya 3-1.

“Lawan Turkmenistan kita sudah lakukan, kita menang dan layak ke Piala Asia, esok lawan Singapura sudah tentu kita akan pergi habis-habisan untuk menang dan layak ke separuh akhir. Kita nak buat penyokong gembira dan ia akan jadi hadiah tahun baharu kepada mereka,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Singapura, juara empat kali dan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir, kini mempunyai kelebihan satu mata di kedudukan kedua Kumpulan B manakala Malaysia ketiga dengan mengumpul enam mata.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Singapura menang 2-1 di laman sendiri pada aksi persahabatan antarabangsa, Mac lepas, sekali gus menyaksikan ketua jurlatih, Pan Gon mengalami kekalahan pertama bersama pasukan negara.

Sumber: BERNAMA

The post Harimau Malaya Nekad Singkir Singapura appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*