KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang mendaki tiga anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hasil kejayaan menewaskan Filipina dan Lubnan dalam aksi Pestabola Merdeka 2024.
Berdasarkan perkiraan yang dibuat laman footranking.com, skuad Harimau Malaya menambah 10.06 mata daripada dua perlawanan itu yang mana 4.48 mata diraih ketika menewaskan Filipina 2-1, Rabu lalu dan 5.58 mata lagi selepas mengatasi Lubnan 1-0, malam tadi.
Ia menyaksikan Harimau Malaya setakat ini mengumpul 1,117.64 mata keseluruhan dan mendaki ke tangga 131, naik tiga anak tangga berbanding ranking semasa 134 seperti yang dikemas kini FIFA pada 18 Julai lalu.
Kenaikan itu turut menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente memintas Indonesia, Gambia dan Rwanda.
Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum muktamad sebelum kemas kini terbaharu rasmi daripada FIFA pada 19 September ini dengan beberapa pasukan lain termasuk Indonesia dan Rwanda akan mengharungi perlawanan selepas ini.
Indonesia yang berjaya mengikat pasukan di ranking 56 dunia, Arab Saudi 1-1 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Jumaat lalu berjaya menambah 6.88 mata dan naik satu anak tangga ke kedudukan 132 dunia.
sumber: BH
Malah, skuad Garuda masih berpeluang untuk menambah mata dan memperbaiki kedudukan ranking mereka sebelum kemas kini terbaharu FIFA sekiranya berjaya meraih keputusan positif berdepan Australia, esok.