Hasrat untuk melihat Faisal Halim beraksi mungkin tidak menjadi kenyataan

Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat tonggak lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim beraksi di pentas Pestabola Merdeka 2024 mungkin tidak menjadi kenyataan susulan pemain itu belum cergas sepenuhnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon, beliau melihat Faisal memerlukan masa untuk berada di tahap 100 peratus bersedia sebelum turun beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Jelasnya, melihat keadaan pemain Faisal atau Mickey sekarang, sudah pasti pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente tidak akan mengambil keputusan terburu-buru dalam situasi seperti ini.

“Bagi saya, kalau (Faisal) dipanggil, kita perlu tunggu dan lihat. Buat masa sekarang, kalau ketua jurulatih (Vicente) tidak panggil, kita tidak perlu buat sebarang perbincangan mengenainya.

“Kita tengoklah keputusannya nanti, beliau juga mungkin nak tengok dahulu prestasi Faisal bersama Selangor. Buat masa ini, saya fikir ia terlalu cepat buat Faisal (bersama skuad kebangsaan),” katanya.

Selain itu, Johan juga berpendapat pemenang ‘Goal Of The Tournament’ Piala Asia 2023 itu masih memerlukan waktu untuk menguatkan kekuatan fizikal agar dia benar-benar bersedia untuk diturunkan dalam apa jua perlawanan.

“Dari mata kasar kita yang menonton, boleh nampak Mickey belum berada di tahap tertinggi, mungkin 60 peratus sahaja. Banyak perkara perlu dipertimbangkan, termasuk bagaimana reaksi Mickey terhadap cabaran yang dilakukan terhadapnya.

“Dia sudah sembuh tetapi jisim ototnya belum 100 peratus, ada kekurangan lagi. Bagaimanapun, kami tahu dia seorang pejuang dan nak bermain secepat mungkin, sebab itulah pasukan memenuhi hajatnya, namun tetap berwaspada,” katanya.

Pada kempen Pestabola Merdeka tahun ini, empat pasukan akan bertanding membabitkan skuad Harimau Malaya di ranking 134 dunia serta tiga lagi pasukan lain.

Tajikistan yang juga juara bertahan Pestabola Merdeka kini menghuni tangga ke-103 dan akan menentang Lubnan di ranking ke- 116.

sumber: HM

Filipina yang berada di posisi ke-147 bakal bertemu Malaysia dengan kedua-dua aksi berlangsung pada 4 September ini.

Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dan keempat akan berlangsung pada 8 September, dengan semua aksi diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.