Hidup merana hidu bau busuk sisa buangan

KOTA TINGGI – Kira-kira 10,000 penduduk di sekitar Bandar Tenggara, di sini terpaksa hidup dalam keadaan ‘merana’ apabila terpaksa menghidu bau busuk yang dipercayai berpunca daripada tiga kilang yang menjalankan kegiatan proses kitar semula sisa buangan cecair.

Keadaan pencemaran bau itu bukan masalah baharu tetapi difahamkan sudah berlaku sejak tiga tahun lalu, namun pemilik premis berkenaan seakan tidak mengendahkan tindakan yang diambil Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Malah ketiga-tiga tapak kilang yang terletak di sini terus beroperasi meskipun lesen mereka telah ditarik pihak MDKT sejak November tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, premis berkenaan me­lakukan kegiatan memproses sisa buangan jenis cecair yang dibawa masuk dari Singapura untuk dikitar semula menjadi baja pertanian.

Menurutnya, punca berlakunya pencemaran bau adalah apabila pihak pengurusan kilang tidak mengikut prosuder operasi standard (SOP) pengurusan sisa buangan berjadual ini.

“Mereka beroperasi tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu cecair sisa buangan berja­dual dikatakan tumpah dan me­ngalir ke parit sebelum masuk ke sungai berdekatan dan keadaan ini menyebabkan bahan kimia tersebut meruap mencemarkan udara sekeliling.

“Lebih buruk lagi apabila berlakunya hujan, udara tercemar dibawa angin ke arah kawasan penempatan penduduk di sini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujar beliau, masalah itu te­lah dikesan sejak 2020 di mana tindakan telah diambil oleh agensi ber­kenaan sebelum isu tersebut reda seketika, namun muncul kembali tahun lalu.

“Di Bandar Tenggara ada kira-kira 10,000 penduduk yang terpaksa berdepan keadaan ini. Kalau hujan bau lagi teruk.

“Tindakan telah pun diambil tetapi pada 2022 mula timbul balik aduan ini. Apabila kita buat susulan rupanya premis tersebut tidak buat apa-apa pun walaupun notis telah dikeluarkan oleh agensi berkaitan,” ujarnya.

Menurutnya, susulan aduan orang ramai mengenai pencemaran bau terbabit, pihaknya mendapati premis mereka juga menjadi punca pencemaran di Sungai Johor melalui Sungai Sibol.

Tegasnya, meskipun pada kadar rendah dan tidak membahayakan, langkah-langkah seperti membuat pemantauan berkala selain tindakan tegas diambil bagi mengelakkan daripada terus berlaku pencemaran air dan bau terutamanya di sekitar Bandar Tenggara.

Beliau juga berharap masalah pencemaran itu akan dapat ditangani dengan segera dan mahu pemilik premis menjalankan perniagaan mereka mengikut undang-undang, dalam masa sama tidak mementingkan diri sendiri serta mengambil kira kesan ke atas penduduk berhampiran.

 

The post Hidup merana hidu bau busuk sisa buangan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*