Hidup Susah, Lelaki Pilih Tinggal Atas Pokok Sejak 3 Tahun Lalu

Lelaki Tinggal Di Atas Pokok

Seorang lelaki di wilayah Isaan, Udon Thani di Thailand sanggup tinggal di atas pokok sejak lebih kurang tiga tahun lalu gara-gara dilapor mengalami masalah kewangan.

Merujuk Thaiger, lelaki berusia 38 tahun itu membina ‘rumah’ ringkas di atas pokok dengan mengikat beberapa kepingan kayu sebagai lantai serta plastik sebagai bumbung.

Difahamkan, kedudukannya terletak hampir 10 meter dari tanah.

‘Kehidupannya’  menjadi tular selepas beberapa orang penduduk tempatan berkongsi gambarnya di laman Facebook.

Hal tersebut telah menyebabkan media Thailand melawatnya di daerah Nampong Khon Kaen untuk mengetahui kisah hidupnya dahulu.

Dalam kesempatan itu, dia berkongsi bahawa dirinya pernah bekerja di Bangkok satu ketika dahulu dan mampu menampung diri sendiri serta ahli keluarganya.

Namun, ekonominya terjejas selepas wabak Covid melanda negara itu sehingga menyebabkan dia terpaksa berpindah ke tempat asalnya di Khon Kaen.

Nasib yang sama menimpanya apabila di berada di Khon Kaen mengakibatkan dia berpindah ke Udon Thani untuk mencari lebih banyak peluang pekerjaan.

Menurut Thaiger, dia telah memohon banyak pekerjaan di Udon Thani namun gajinya tidak setimpal dengan bayaran bil yang terpaksa dilunaskannya.

Justeru, dia membuat keputusan untuk membayar semua hutangnya dan memilih untuk tinggal di atas sebatang pokok.

Lelaki Tinggal Di Atas Pokok
Kredit: ครูตะวัน ประทีปแห่งที่ราบสูง | Facebook

“Satu-satunya perkara yang dia inginkan adalah pekerjaan”

Membuka kisahnya dengan lebih mendalam, dia mengatakan bahawa tahap kehidupannya adalah sederhana. Tambahnya, sekiranya seseorang mengupahnya untuk bekerja, maka dia akan pergi bekerja.

Jika tidak, dia akan pergi ke kuil untuk mendapatkan makanan, malah kadang-kadang akan ada orang di situ (kuil) yang berkongsi makanan dengannya.

Sementara itu, ada pegawai dari Pusat Perlindungan dari Kemiskinan dan Pembangunan Sosial serta Kementerian Keselamatan Manusia pernah melawatnya pada Sabtu, 7 Januari.

Dalam kesempatan itu, pegawai bertugas tersebut telah mengarahkannya untuk tinggal di rumah khas bagi gelandangan yang memberikan khidmat makanan dan tempat tinggal secara percuma di wilayah itu.

Tambah pegawai itu, rumah tersebut telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan ia lebih selamat daripada ‘rumah pokok’ miliknya.

Namun, dia menolak tawaran itu dengan sekeras-kerasnya dan tetap ingin tinggal di atas pokok kerana menurutnya, rumah pokok tersebut lebih selesa.

Dia turut mengatakan bahawa dirinya akan berpindah sekiranya tuah tanah (kawasan pokok berkenaan) menyuruhanya untuk berpindah.

Hal itu disebabkan dia ingin hidup sendiri tanpa perlu membebankan kerajaan atau orang lain kerana satu-satunya perkara yang dia inginkan adalah pekerjaan.

 

 

Sumber: Thaiger

The post Hidup Susah, Lelaki Pilih Tinggal Atas Pokok Sejak 3 Tahun Lalu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*