Hilang kawalan punca nahas mengorbankan dua beradik

IPOH – Hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi di bahu kiri jalan menjadi punca kepada kemalangan yang mengorbankan dua beradik di Jalan Jelapang–Chemor, berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya di sini hari ini.

Mangsa yang terkorban adalah R. Shaamalen, 22, yang memandu kereta jenis Honda Accord dan abangnya, Dhaarnish, 29.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 6.11 pagi.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua beradik yang dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar ke rumah mereka di Taman Desa Meru di sini.

“Sampai di lokasi, kereta dipandu pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi di bahu kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang.

“Mangsa dan abangnya berusia 29 tahun tersepit di dalam kereta namun berjaya dikeluarkan anggota bomba. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan kenyataan saksi, dia melihat dengan jelas kejadian tersebut dan mengesahkan tiada kenderaan lain di atas jalan raya pada ketika itu.

Katanya, mayat dua beradik itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Punca kemalangan kerana hilang kawalan sendiri dan terbabas jatuh dalam longkang. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Hilang kawalan punca nahas mengorbankan dua beradik appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*