Hujan lebat di dua kawasan punca tanah runtuh

TAIPING – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Bukit Larut di sini, semalam, adalah berpunca daripada hujan lebat di dua kawasan di sana.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, dua kawasan yang terlibat adalah sekitar jalan di Kilometer (KM) 1.6 sehingga KM6 dan di laluan KM1.6 serta KM3.5.

“Runtuhan menyebabkan jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Kejadian disedari kakitangan Pusat Peranginan Bukit Larut (PPBL) pada jam 4.30 petang.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta awam dilaporkan dan semua kakitangan terlibat serta pendaki-pendaki selamat turun ke kaki bukit melalui jalan denai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya petugas Telekom Malaysia (TM) di stesen pemancar sahaja tidak dapat turun kerana kenderaan mereka tidak boleh melalui jalan yang terlibat.

Bagaimanapun, Khairul Amir berkata, kesemua mereka telah selamat kembali ke stesen pemancar.

“Berdasarkan pemerhatian awal kemungkinan kejadian berpunca struktur tanah tidak begitu stabil disebabkan hujan lebat.

“Pihak Majlis telah memaklumkan kejadian ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Larut Matang dan Selama dan pihak terbabit telah menghantar pasukan untuk kerja-kerja pembersihan sisa tanah runtuh,” katanya.

Menurutnya, bagi mengutamakan keselamatan pengunjung, kawasan Bukit Larut ditutup kepada orang awam bermula semalam sehingga kerja-kerja pembersihan jalan dan baik pulih selesai. – KOSMO! ONLINE

The post Hujan lebat di dua kawasan punca tanah runtuh appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*