KUALA LUMPUR: ‘Ini bukan pendedahan, ini satu pendarahan!,” kata jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.
Jurulatih yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam kancah kejurulatihan mengakui skuad Bawah 23 tahun (B-23) Kedah Darul Aman (KDA) FC belum cukup matang untuk diturunkan bagi aksi Liga Super kerana mereka belum cukup bersedia bagi berdepan cabaran di kancah tertinggi itu.
Beliau turut menyatakan rasa sedih apabila menyaksikan perlawanan antara KDA FC menentang KL City FC sebelum ini dan menyifatkan tindakan boikot dilakukan pemain utama dipercayai berpunca isu tunggakan gaji sebagai satu masalah yang benar-benar serius.
“Tak kena kita gunakan budak-budak liga simpanan untuk bermain di Liga Super. Kalau ada Liga Perdana sekalipun, mereka tak boleh (main). Kita kena sedar taraf kematangan dan mentaliti pemain kita lambat. Mana kita nak cari pemain usia 17 atau 18 tahun main negara sekarang?
“Inilah yang cukup menyedihkan saya tetapi soal jaringan itu bukan persoalannya. Tetapi kenapa gunakan keseluruhan pemain muda dan boikot sehingga ke peringkat ini? Ini maknanya penyakit.
“Saya tengok budak-budak itu main, saya nak menangis. Adakah ini bola sepak kita? Kalau nak katakan sebagai pendedahan, ia bukan secara kolektif, maksudnya kita nampak orang itu (berpotensi), kita naikkan ke atas (skuad utama).
“Ini bukan pendedahan, ini pendarahan apabila kita gunakan satu pasukan yang muda untuk bermain di Liga Super,” kata Irfan.
Terdahulu, tindakan pemain skuad utama memboikot sesi latihan menyebabkan skuad bimbingan Nafuzi Zain terpaksa menggunakan skuad B-23 mereka untuk berdepan KL City FC dan mereka dibelasah tuan rumah 0-5 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, minggu lalu.
Bagaimanapun, skuad Kenari bakal kembali mendapat rentaknya apabila keseluruhan pemain utamanya kini kembali turun menjalani latihan bagi mempersiapkan diri bagi menentang Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.
Dalam masa sama, Irfan Bakti mengharapkan isu terbabit dalam diselesaikan dengan kadar segera supaya isu ini tidak berlanjutan dan berpotensi menjadi lebih parah pada masa akan datang.
“Salah siapa, salah pengurusan ke atau salah Menteri Besar? Saya pegang kepada ketua kerajaan iaitu Menteri Besar. Memang sudah diswastakan tetapi ini negeri saya.
sumber: BH
“Kita pun lihat mereka yang terbabit dalam pengurusan, apa yang mereka buat? Saya rasa sudah berapa banyak duit yang dihabiskan Tan Sri D Mohd Daud Bakar sehingga terpaksa bergolok gadai.
“Kita pun lihat perkara ini berlaku pada beberapa negeri yang lain sebelum ini. Jadi buatlah sesuatu, apa yang perlu dilakukan dan jangan jadi seperti ini,” katanya.