Iran Tahan Lebih 100 Orang Berhubung Kes Keracunan Pelajar Sekolah

Iran Tahan Lebih 100 Orang Berhubung Kes Keracunan Pelajar Sekolah

TEHRAN, 12 Mac (Bernama-Xinhua) — Kementerian Dalam Negeri Iran pada Sabtu mengumumkan bahawa lebih 100 orang ditahan di 11 wilayah berhubung insiden keracunan membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini.

Menurut kenyataan kementerian yang disiarkan di laman sesawangnya, beberapa tahanan dikatakan menggunakan bahan beracun sebagai perbuatan “nakal” untuk ponteng  dan pihak berkuasa telah memberi amaran kepada mereka, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu beberapa lagi tahanan lain pula didapati cuba menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai dan pelajar.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Lebih 700 pelajar di lebih 30 sekolah di seluruh Iran menjadi mangsa kes keracunan misteri sejak 30 Nov 2022 selepas kes pertama dilaporkan di wilayah Qom.

Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei pada Isnin menggesa penguatkuasa undang-undang untuk menahan dalang di sebalik insiden itu dan berikrar untuk memberikan hukuman maksimum kepada pelaku.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati penggunaan “bahan perangsang” tertentu dalam kalangan pelajar membawa kepada gejala keracunan di beberapa sekolah sejak beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, media melaporkan lebih daripada 5,000 pelajar sekolah Iran terutamanya perempuan dilaporkan telah terjejas akibat keracunan sejak akhir November lalu.

Ahli Parlimen Mohammad Hassan Asafari berkata sebanyak 25 lima wilayah dan kira-kira 230 sekolah terjejas akibat keracunan itu.

“Pelbagai ujian sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan.

“Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan,” terang Mohammad Hassan mengenai kejadian itu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Lebih 5,000 Kanak-kanak Iran Diracuni – Laporan

The post Iran Tahan Lebih 100 Orang Berhubung Kes Keracunan Pelajar Sekolah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*