Iraq Mula Kuat Kuasa Larangan Import Minuman Beralkohol – Laporan

larangan import alkohol

Iraq Mula Kuat Kuasa Larangan Import Minuman Beralkohol – Laporan

Jabatan Kastam Iraq dilapor memulakan pelaksanaan menguatkuasakan larangan import minuman beralkohol sebagai undang-undang baharu bermula Sabtu, memetik AFP.

Bagaimanapun jualannya di beberapa premis utama di bar atau restoran berlesen tertentu masih tetap dibenarkan, sekurang-kurangnya di ibu negara, Baghdad.

Difahamkan, perundangan baharu yang melarang penjualan, import atau pengeluaran alkohol itu pada asalnya diluluskan parlimen pada 2016 dahulu.

Namun ia ‘dirasmikan’ sebagai undang-undang berikutan penerbitannya (rang) dalam warta rasmi pada 20 Februari baru-baru ini.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kastam telah melarang semua kemasukan minum jenis beralkohol di negara tersebut.

“Pihak Berkuasa Kastam Am telah memberi arahan kepada semua pusat kastam untuk melarang kemasukan semua jenis minuman beralkohol,” katanya.

Sekiranya terdapat pelanggaran, undang-undang baharu itu menetapkan denda antara RM146,000 dan RM365,000 akan dikenakan kepada pesalah.

Tetapi ia bercanggah dengan dekri kerajaan yang diterima pakai pada 14 Februari.

Ia menetapkan duti 200 peratus ke atas semua minuman beralkohol yang diimport untuk empat tahun akan datang.

BACA: Qatar Kuat Kuasa Perintah Larang Jual Minuman Beralkohol Di Stadium Semasa Piala Dunia

Peraturan larangan import minuman beralkohol dapat kritikan

Pengambilan minuman beralkohol tidak disenangi di Iraq terutamanya golongan Muslim tetapi ia didakwa boleh didapati dengan mudah di kedai arak.

Kebanyakan kedai tersebut dikendalikan dan dimiliki oleh orang penganut Kristian atau bukan Muslim yang lain.

Akan tetapi, peraturan itu mendapat kritikan hebat daripada aktivis hak asasi manusia dan penggubal undang-undang yang mewakili masyarakat bukan Muslim.

Awal minggu ini, lima anggota parlimen dari blok Kristian merayu kepada Mahkamah Agung Persekutuan dengan alasan larangan itu ‘tidak berperlembagaan’.

Ahli Parlimen Duraid Jameel berkata hal itu kerana ia gagal menghormati hak minoriti.

Mustafa Saadoon dari Pemerhati Hak Asasi Manusia Iraq berkata larangan alkohol itu merupakan sebahagian daripada pakej komprehensif yang bertujuan menyekat kebebasan.

Manakala, ejen hartanah Baghdad Sarmad Abbas mengatakan larangan itu hanya akan mendorong penjualan alkohol ke ‘pasaran pintu belakang’.

Mengakui Islam mengharamkan pengambilan minuman beralkohol, dia berkata namun pengambilan arak merupakan kebebasan peribadi yang tidak boleh dihalang.

Walaupun larangan minuman beralkohol adalah undang-undang persekutuan, ia tidak mungkin terpakai di wilayah autonomi Kurdish Iraq.

Wilayah tersebut mengendalikan pos kastamnya sendiri di sempadan utara dengan Turki.

Sumber: AFP via Al-Monitor

The post Iraq Mula Kuat Kuasa Larangan Import Minuman Beralkohol – Laporan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*