Isu KWSP Jadi Topik Hangat Sesi Perbahasan Sidang Parlimen

KWSP topik hangat parlimen

Isu KWSP Jadi Topik Hangat Sesi Perbahasan Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Memasuki minggu ketiga Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  masih menjadi topik hangat dalam sidang Dewan Rakyat, dengan Ahli-ahli Parlimen melontarkan pelbagai idea dan pandangan berhubung dana persaraan negara itu.

Semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 hari ini, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada awalnya melahirkan kebimbangan mengenai fakta bahawa median simpanan ahli KWSP menyusut 50 peratus daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik COVID-19 kepada RM8,100 pada 2022.

Lim berkata lantaran itu kerajaan perlu mewujudkan perancangan jangka panjang yang beroperasi selari dengan KWSP bagi memastikan kehidupan persaraan rakyat tidak terancam kerana kekurangan jaminan wang persaraan kelak.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan mempelajari modul Dana Pencen Kerajaan Norway, khususnya daripada aspek pengurusan kekayaan hasil bumi dengan berkesan, yang membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada dana pencen tersebut.

“Sekiranya kebanyakan keuntungan Petronas dikunci sedemikian dalam amanah (Dana Pencen Kerajaan) seperti diamalkan Norway, rakyat Malaysia (Malaysia) berkemungkinan memiliki aset bernilai USD1 trilion dan  secara langsung menjamin masa depan rakyat yang berpencen,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar KWSP kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.

Turut menyentuh isu sama ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran dana itu secara bersasar memandangkan situasi rakyat ketika ini yang semakin hari semakin terhimpit ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

BACA JUGA: Belanjawan 2023: Kerajaan Setuju Beri RM500 Ke Dalam Akaun 1 Pencarum KWSP

“Pencarum KWSP ini  datang daripada kelompok yang sekian lama mencarum dan menabung untuk masa depan, tetapi malangnya kesusahan datang lebih awal daripada tarikh persaraan. Sebab itu saya memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar ini,” katanya.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula berpendapat bahawa inisiatif kerajaan menambah caruman sebanyak RM500 untuk ahli KWSP berusia 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dilihat tidak memberikan impak kepada penerima.

“Pemberian RM500 itu bagus tetapi ia tidak memberi apa-apa impak kerana penerima hanya boleh gunakan wang itu selepas beberapa tahun,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

The post Isu KWSP Jadi Topik Hangat Sesi Perbahasan Sidang Parlimen appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*