Isu Mutu Pengadilan Perlawanan Malaysia-Vietnam, FAM Hantar Surat Rasmi Kepada AFF

Isu Mutu Pengadilan Perlawanan Malaysia-Vietnam, FAM Hantar Surat Rasmi Kepada AFF

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), hari ini telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola sepak ASEAN (AFF) berkenaan isu mutu pengadilan ketika perlawanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Berita itu diumumkan oleh FAM melalui perkongsian mereka di Facebook miliknya sebentar tadi.

Menurut FAM, tindakan tersebut dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram.

“Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” tulis perkongsian oleh FAM tersebut.

Perlawanan peringkat Kumpulan B yang berlangsung pada Selasa, 27 Disember lalu menjadi bualan hangat peminat sukan bola sepak negara selepas pengadil dari Jepun, Ryuji Sato telah melayangkan kad merah sekaligus memberikan sepakan penalti kepada pasukan Vietnam. Dalam perlawanan malam tersebut, pasukan Vietnam berjaya menundukkan pasukan Harimau Malaya dengan jaringan sebanyak 3-0.

Terdahulu, isu tersebut juga telah mendapat perhatian bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh.

Jelasnya, terdapat dua kebarangkalian yang berlaku dalam insiden kad merah dan penalti yang melibatkan skuad Harimau Malaya pada perlawanan malam tersebut.

Menurut Subkhiddin, undang-undang FIFA menyatakan jika insiden tersebut berlaku di luar padang permainan dan berhampiran dengan kawasan penalti semasa permainan masih diteruskan maka permainan perlu dimulakan dengan sepakan penalti.

Kata Subkhiddin lagi, insiden yang dimulakan dengan tolakan daripada pemain pasukan Vietnam itu mungkin telah berlaku tindak balas oleh pemain Azam Azmi maka kad merah perlu diberikan.

Subkhiddin turut memberi pandangan beliau bahawa, pengadil perlawanan pada malam ini mungkin telah terlepas pandang dengan insiden pertama tolakan pemain Vietnam tersebut.

“Jika insiden pertama tersebut tidak diambil kira maka keputusan untuk memberi sepakan penalti tersebut adalah betul mengikut peraturan perlawanan,” sambung Subkhiddin lagi.

Sumber: FAM/Facebook

The post Isu Mutu Pengadilan Perlawanan Malaysia-Vietnam, FAM Hantar Surat Rasmi Kepada AFF appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*