Jana Wibawa: SPRM Jangka 3-4 Kertas Siasatan Siap Dalam Masa Terdekat

jana wibawa sprm kertas siasatan

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) —  Siasatan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) masih dijalankan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata SPRM sedang menyiapkan ‘tiga atau empat kertas siasatan lagi’ berkaitan kes Jana Wibawa sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih berjalan. Ada beberapa kertas siasatan masih dalam tindakan dan pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan,” katanya ketika ditanya perkembangan siasatan berhubung Jana Wibawa  dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tropicana membongkar sindiket penipuan pelaburan dalam talian, di sini hari ini.

Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek dalam isu Jana Wibawa, Azam yang enggan mengulas lanjut berkata siasatan masih berjalan dan keputusan akan dibuat Peguam Negara selepas menerima kertas siasatan daripada SPRM.

BACA JUGA: Wan Saiful Umum Hasrat Letak Jawatan Ketua Penerangan Bersatu

Muhyiddin dilaporkan sebelum ini mengesahkan telah memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek Jana Wibawa dan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukannya suspek.

Beberapa individu termasuk pemimpin politik antaranya Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad telah didakwa di mahkamah berkaitan Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin dengan objektif mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata siasatan terhadap isu pengambilalihan pengurusan Menara KL telah lengkap dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Negara.

Sumber: BERNAMA

The post Jana Wibawa: SPRM Jangka 3-4 Kertas Siasatan Siap Dalam Masa Terdekat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*