Jangan mudah hakimi rumah tangga orang lain

PETALING JAYA – Ramai masyarakat masa kini mudah untuk menghakimi hal rumah tangga orang lain sedangkan mereka tidak mengetahui kisah sebenar yang berlaku dalam urusan pasangan tersebut.

Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr. Kamilin Jamilin, tampil menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum masalah rumah tangga orang lain.

“Allah itu maha mengetahui apa yang ada dalam diri kamu, maka ambillah peringatan yakni Allah hendak memberi isyarat bahawa urusan pertelingkahan, masalah penceraian yang berlaku dalam rumah tangga orang lain adalah urusan peribadi mereka.

“Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui masalah yang melanda pasangan tersebut. Maka kita jangan terlalu cepat menjadi hakim dalam kisah orang lain. Serahkan urusan mereka kepada Allah dan yang berkenaan saja,” jelasnya.

Tambah beliau, kita hanya sekadar orang luar yang tidak mengetahui kisah sebenar sedangkan mereka memiliki cerita versi masing-masing.

Video tersebut seterusnya dikongsikan oleh seorang pempengaruh media sosial, @addien90s di Twitter sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

“Jangan terlalu rancak dan seronok mengata hal rumah tangga orang, sebaliknya urus dan ambil tahu hal keluarga kita sendiri. Kelak Tuhan beri ujian sama seperti yang dikatakan, malu muka,” ujarnya menerusi ruangan kapsyen.

“Setuju. Tidak faham mengapa kita hendak menilai hal rumah tangga orang lain. Tidak mengapa jika sekadar mahu dijadikan sebagai pengajaran asalkan tidak menilai secara berlebihan,” ciap seorang pengguna, @imford_.

“Betul. Kadang, ada orang yang pintu rumah pun belum kelihatan, tapi sudah sibuk tentang tangga di rumah orang lain,” komen netizen lain, @ Amzanmz.

Hantaran video tersebut telah meraih sebanyak 41,300 jumlah tontonan dan 457 ciap semula setakat ini. – KOSMO! ONLINE.

The post Jangan mudah hakimi rumah tangga orang lain appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*