Jangan risau Damok, SIC bagi jaminan

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman hanya perlu memberi fokus sepenuhnya kepada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia musim 2023, tanpa perlu memikirkan soal kewangan.

Perkara berkenaan susulan jaminan diberikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang tidak akan membenarkan perjalanan Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok terhenti di tengah jalan selepas mendapat sokongan penuh SIC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, SIC dan KBS akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Damok untuk bertanding dalam kejohanan dunia tersebut.

“SIC dan KBS berharap Damok dapat mengharumkan nama negara dan terus memberikan komitmen sepenuhnya kepada Kejuaraan Dunia FIM Moto3 pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin meluahkan kebimbangan terhadap karier pelumba berusia 21 tahun itu terencat di tengah jalan ekoran masih buntu mencari penaja utama bagi menanggung kos perbelanjaan Damok pada penampilan sulungnya sebagai pelumba tetap dalam kejuaraan dunia.

Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara berkata, Damok yang akan mewakili pasukan MTHelmets_MSi memerlukan anggaran bajet untuk satu musim sebanyak RM3.5 juta.

Selain membantu membantu Damok mencari penaja, SIC juga memberi ruang kepada Damok berlatih secara intensif di SIC bagi persiapannya ke kejohanan dunia.

Untuk pelumba seperti Damok yang baru hendak bertapak dalam kejuaraan dunia, penampilannya pada musim pertama amat kritikal terutamanya dari segi sokongan kewangan namun ia akan stabil sekiranya dia berjaya mempamerkan prestasi baik musim ini.-UTUSAN

 

The post Jangan risau Damok, SIC bagi jaminan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*