ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) akan turun habis-habisan apabila melayan kunjungan Shanghai Shenhua FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Pengendalinya, Hector Bidoglio menegaskan aksi menentang kelab dari China itu tetap sukar dan menarik tatkala kedua-dua pasukan mahukan tiga mata dalam perlawanan itu malah apa yang penting JDT harus memberi fokus terhadap diri mereka sendiri.
“Kami harus tingkatkan kualiti permainan apabila berdepan kelab dari China itu kerana ia perlawanan penting buat kami malah pemain tampak bekerja keras membuat persiapan untuk beraksi dalam perlawanan ACLE.
“Kami juga perlu meletakkan fokus terhadap potensi kami tatkala aksi pertama ACLE di tempat lawan begitu memberangsangkan walaupun melakar keputusan seri 2-2 dengan Shanghai Port FC tapi akan bersedia untuk mencari kemenangan pertama di laman sendiri.
“Selepas mengkaji corak permainan pasukan lawan, tidak dinafikan mereka kerap menjaringkan gol menerusi gerakan `set-piece’ dan pemain mereka juga baik apabila menyudahkan bola tandukan selain gemar memperdaya benteng pertahanan,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu menambah, JDT juga akan memperkemaskan gerakan `set-piece’ memandangkan ia penting dalam permainan kerana mampu memberi kemenangan jika semua perancangan dibuat dengan rapi.
sumber: BH
Bidoglio juga mengesahkan pemain tengah Enzo Lombardo tidak akan diturunkan pada aksi menentang Shanghai Shenhua FC selepas masih lagi mengalami kecederaan ketika menentang Kuching City FC, Jumaat lalu.