JDT Bimbang Ancaman Pasukan ini

JOHOR BAHRU: Kekal dengan momentum kemenangan menjadi fokus utama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berdepan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam esok.

Malah ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio mahu setiap pemain yang bakal diturunkan meneruskan rentak permainan yang konsisten dalam usaha menjarakkan kedudukan mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC.

Apapun pengendali kelahiran Argentina tetap berwaspada dengan taktikal permainan yang bakal ditampilkan skuad kendalian Yusri Che Lah yang pasti mahu mengambil kesempatan untuk memburu kemenangan di laman sendiri.

“Bagi saya perlawanan menentang Perak adalah satu lagi perlawanan sukar yang akan kita harungi di tempat lawan kerana pasukan itu dibarisi pemain muda yang tidak erti mengalah malah mereka bakal memberi tekanan buat kami.

“Ia memerlukan kami untuk beraksi dengan lebih baik seperti yang kami lakukan pada perlawanan yang terdahulu dalam usaha melakar kemenangan dan ia penting untuk menjarakkan kedudukan mata dengan Selangor yang mula menghampiri JDT,” katanya.

Bidoglio juga membuat persiapan rapi apabila mengkaji corak permainan skuad The Bos Gaurus dengan menonton rakaman video untuk mengesan kekuatan dan kelemahan lawan.

sumber: BH

Ditanya sama ada akan melakukan penggiliran pemain tatkala aksi final Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Ogos ini semakin hampir, Bidoglio berkata semua pemain dalam skuad JDT memainkan peranan penting dan kesemuanya mampu beraksi dalam kesebelasan utama.