Johor bahru: Selesai tugasan di peringkat Asia, kini Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali memberi tumpuan pada saingan liga tempatan apabila berdepan Kelantan Darul Naim FC ( KDN FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Skuad kendalian Hector Bidoglio akan `bertandang’ ke Stadlium Sultan Ibrahim selepas pengurusan KDN FC yang memohon untuk beraksi di stadium berkenaan berikutan Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam penyelenggaraan.
Justeru pengendali kelahiran Argentina itu harus mengambil kesempatan sepenuhnya bagi menggapai tiga mata dalam usaha mengekalkan kedudukan tangga teratas liga elit tempatan malah tetap berwaspada dengan corak taktikal permainan skuad kendalian Park Jae-hong.
“Kita pernah tewaskan mereka 4-0 pada aksi pusingan 16 Piala FA pada Jun lalu. Tetapi itu sudah berlalu dan mereka mungkin akan turun dengan corak permainan yang berbeza dan kita harus berjaga-jaga dalam aksi itu nanti.
“JDT akan turun dengan mengekalkan corak permainan yang dinamik dan berintensiti tinggi malah pengalaman beraksi di pentas Asia membuatkan kami lebih bermotivasi bagi mengharungi aksi saingan liga,” katanya.
Bidoglio kemungkinan akan melakukan penggiliran pemain apabila berdepan skuad Kijang Emas dan perlu berwaspada dengan kelibat pemain lawan yang mengikat pemain import baharu, Aung Kaung Mann, Layth Kharoub dan Washington Brandao.
sumber: HM
Apapun, kemenangan tetap menjadi buruan skuad Harimau Selatan tatkala beraksi di `gelanggang lawan’ dan kelibat Bergson da Silva, Heberrty Fernandez serta Arif Aiman Hanapi bakal jadi taruhan dalam perlawanan itu nanti.