JDT meraih habuan lumayan RM3.5 juta

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih habuan lumayan berjumlah AS$800,000 (kira-kira RM3.5 juta) susulan penyertaan mereka dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.

Jumlah itu diberikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada semua pasukan yang mengambil bahagian di peringkat liga kejohanan tertinggi Asia itu.

Skuad Harimau Selatan yang menjadi wakil tunggal Malaysia di pentas ACLE turut berpeluang menambah RM885,600 dalam kantung mereka sekiranya berjaya layak ke pusingan 16 terakhir.

Pasukan yang layak ke peringkat suku akhir pula akan menerima ganjaran RM1.77 juta dan tambahan RM2.65 juta sekiranya berjaya mara ke separuh akhir.

Jumlah bonus lebih lumayan bakal diterima pasukan yang berjaya melangkah ke final apabila juara akan menerima RM44 juta manakala pasukan naib juara RM17.7 juta.

Pada majlis undian yang berlangsung semalam, JDT diundi menentang pasukan kendalian Kim Pan Gon yang juga juara dua kali ACL, Ulsan HD FC di gelanggang sendiri.

Berdasarkan format pertandingan ACLE, setiap pasukan akan mengharungi empat aksi di gelanggang sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Tiga lagi pasukan yang akan ditentang JDT bagi aksi di gelanggang sendiri termasuk juara Liga Thailand, Buriram United FC, Pohang Steelers FC dan Shanghai Shenhua FC.

Bagi empat aksi di tempat lawan pula, Harimau Selatan akan menentang Shanghai Port FC, Central Coast Mariners FC, Shandong Taishan FC dan Gwangju FC.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu akan memulakan kempen ACLE menentang Shanghai Port di Stadium Bolasepak Pudong, Shanghai pada 18 September ini.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25 meraih RM1.3 juta yang mana jumlah itu diberikan bagi setiap pasukan yang menyertai saingan peringkat kumpulan kejohanan.

Pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat seterusnya akan menerima bonus tambahan yang mana RM354,240 bagi pusingan 16 terakhir, RM708,480 (suku akhir) dan RM1 juta (separuh akhir).

Pasukan juara ACL2 pula akan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM11 juta manakala naib juara meraih RM4.4 juta.

sumber: HM

Selangor yang mara selaku naib juara Liga Super musim lalu diundi bersama gergasi Korea Selatan yang juga juara dua kali ACL, Jeonbuk Hyundai Motors FC, Muangthong United (Thailand) dan Dynamic Herb Cebu (Filipina) dalam Kumpulan H.

Gergasi Merah yang dikendali Nidzam Jamil akan memulakan langkah mereka dalam ACL2 menentang Muangthong United di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, 19 September ini.