Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia menerusi agregat 9-0 selepas mudah membelasah Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 6-0 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, petang tadi.
JDT selaku penyandang juara piala berprestij itu menanti sama ada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang akan turun beraksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Asakan bertall arus skuad Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13 selepas bola sepakan lintang Jese Rodrigeuz menyaksikan pemain pertahanan KL Rovers, Mohammad Raffi Nagoorghani tertampan ke gawang sendiri.
JDT nyaris dimalukan KL Rovers pada minit ke-19 selepas kesilapan yang dilakukan pemain muda JDT, Danish Hakimi Sahaludin memberi ruang buat Faiz Mazlan merembat bola kencang, namun penjaga gol, Christian Abad Amat berjaya menghalang bola daripada dibolosi.
Anak didik Hector Bidoglio menambah derita skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail selepas menambah jaringan minit ke-32 berpunca daripada bola sepakan lintang Nazmi Faiz Mansor berjaya dikawal Rodriguez yang mengumpan bola ke belakang untuk Corbin Ong merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri menewaskan Ahmad Asyraaf.
Rodriguez yang kerap mendapat peluang mencipta jaringan akhirnya berjaya mencetak nama selaku penjaring selepas gerakan satu dan dua bersama Nazmi Faiz membolehkan bekas pemain Real Madrid itu menjaringkan gol pada minit ke-44 bagi meletak JDT selesa dengan kedudukan 3-0 dan agregat 6-0.
Bersambung babak kedua, pemain gantian Gabriel Nistelrooy yang juga penjaring terbanyak Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan 15 gol dalam saingan Piala MFL, hampir mencipta jaringan selepas menerima bola lorongan Nazmi Faiz, namun bola hanya sipi daripada gawang gol ketika Ahmad Asyraaf sudah tertewas.
Kemasukan Bergson da Silva di babak kedua memberi impak buat JDT apabila menjaringkan gol keempat pasukan itu selepas menanduk bola hantaran lintang Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-74 menewaskan Ahmad Asyraaf untuk mengukuhkan jaringan Harimau Selatan agregat 7-0.
Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-81 selepas merembat bola kencang bola hasil sepakan lintang Nazmi Faiz dari posisi sayap kanan untuk meletak JDT dengan agregat 8-0.
sumber: HM
Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan, pemain gantian, Mahammadou Sumareh menemui sentuhan penyudah selepas bola umpanan Nazmi Faiz membolehkan dia sekadar menyungkit bola menewaskan Ahmad Asyraaf untuk melengkap kemenangan 6-0.