Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025

KUALA LUMPUR: Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 yang akan dibuka pada 26 Ogos hingga 22 September ini dijangka suram tanpa ramai pemain baharu dibawa masuk pasukan bertanding.

Ia susulan banyak pasukan dikatakan berdepan masalah dari aspek kewangan dengan ada yang sebelum ini dilaporkan sudah berdepan isu tunggakan gaji pada awal musim.

Hanya juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilihat rancak merekrut pemain baharu dalam usaha memperkuatkan lagi skuad mereka.

Setakat ini, skuad Harimau Selatan mengumumkan kemasukan lima pemain baharu iaitu Park Jun Heong, Enzo Lombardo, Eddy Israfilov, Iker Undabarrena dan penjaga gol, Christian Abad.

Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor pula mengumumkan pemain antarabangsa Jordan, Ali Olwan sebagai rekrut terbaharu mereka.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan masalah kewangan atau kantung kelab yang sedikit menjadi faktor utama pasukan dilihat kurang ‘minat’ untuk mendapatkan pemain baharu.

Beliau berkata, pasukan perlu berbelanja puluhan ribu ringgit untuk membawa masuk seorang pemain import baharu bagi jendela perpindahan kedua.

“Kebanyakan pasukan sekarang ini tak mampu. Jika mahu ambil pemain baharu, pasukan kena bayar ejen, yuran perpindahan, tiket penerbangan dan mereka juga perlu sediakan tempat tinggal untuk pemain baharu.

“Kos itu semua bukan sedikit. Jika gaji pemain AS$8,000 (kira-kira RM35,000), pasukan kena bayar yuran tandatangan satu bulan, tidak masuk lagi tiket penerbangan dan tempat tinggal.

“Malah pasukan juga perlu bayar pampasan jika mahu buang pemain lama yang mana pampasan itu sekurang-kurangnya tiga bulan gaji. Saya berasa benda itu susah dan mungkin banyak pasukan tidak akan buat,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Effendi yang lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain berkata, jendela perpindahan kedua turut mempunyai risiko besar buat pasukan sekiranya tersilap menandatangani pemain yang gagal memberikan impak kepada pasukan.

Katanya, ia kerana pasukan tiada masa untuk menguji pemain terbabit dan mereka harus mendapatkan pemain yang benar-benar bagus serta mencapai apa yang diharapkan.

sumber: BH

“Pasukan tidak boleh ambil pemain yang sudah lama tak beraksi. Sebab itu jendela perpindahan kedua ini risikonya besar jika pasukan silap tandatangan pemain baharu.

“Mereka kena buat risikan awal terhadap pemain yang mahu ditandatangani, pastikan pemain itu bagus dan sesuai dengan pasukan. Jangan bila jendela perpindahan dibuka baru nak mula cari pemain,” katanya.