JHEAT Tahan 11 Lelaki, Disyaki Ponteng Solat Jumaat

JHEAT Tahan 11 Lelaki, Disyaki Ponteng Solat Jumaat

Pasukan Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menahan 11 orang lelaki yang dipercayai ponteng Solat Jumaat, hari ini.

Kesemua yang ditahan dikesan menerusi satu operasi yang dijalankan pihak berkenaan di sekitar bandar raya Kala Terengganu, tengah hari tadi.

Menurut Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris, semua lelaki beragama Islam berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun tersebut diberkas kira-kira jam 2.10 petang di lokasi terbabit.

Kata Khairul Azizi, mereka didapati sedang berkumpul dan berborak kosong sesama sendiri sehingga jemaah lain pulang dari menunaikan Solat Jumaat.

“Ketika diberkas, ada di kalangan mereka memberi alasan baru balik dari masjid.

“Namun ia hanya satu helah kerana penguatkuasa wanita kita sudah membuat risikan di lokasi sejak jam 1.15 petang lagi sebelum tangkapan dibuat sejurus solat Jumaat selesai,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

11 tertuduh bakal dihadapkan di bawah pertuduhan Kesalahan Jenayah Syariah

Tambahnya, 11 lelaki terbabit bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016) kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Kesalahan tersebut disabitkan atas ‘mana-mana orang lelaki, yang mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukim masjidnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah’.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jamin hadir ke mahkamah,” ujarnya.

Tambahnya, , Ops Ponteng Solat Jumaat tersebut melibatkan beberapa pegawai penguatkuasa Syariah lelaki dan wanita dari beberapa daerah. Antaranya daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati lelaki Muslim agar tidak ponteng daripada menunaikan ibadah solat Jumaat. Hal ini kerana. ibadah ini merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim yang tidak uzur.

“Mengikut enakmen kesalahan jenayah takzir, mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan dan mereka boleh dihukum.

“Oleh itu, kita akan sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi memastikan seluruh umat Islam di negeri ini tidak culas dalam melaksanakan ibadah itu,” memetik kata beliau dari laporan Sinar Harian.

BACA: Boleh Ke Suami Tinggal Solat Jumaat Sebab Nak Teman Isteri Bersalin? Ini Jawapan Dr. Zul

Sumber: Sinar Harian

The post JHEAT Tahan 11 Lelaki, Disyaki Ponteng Solat Jumaat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*