Jokowi mengaku pencabulan hak asasi manusia di Indonesia

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) membuat pengakuan yang jarang berlaku mengenai rekod pencabulan hak asasi manusia di Indonesia kelmarin dan berikrar akan memberi pampasan kepada mangsa sekiranya perkara itu berulang di masa hadapan, lapor portal berita Wion News.

Beliau juga berjanji untuk menghalang pencabulan hak asasi manusia serupa daripada terus berlaku pada masa hadapan.

Kenyataan Jokowi disiarkan oleh stesen televisyen Indonesia di mana beliau mengaku bahawa 12 insiden yang dikategorikan sebagai pencabulan hak asasi manusia, berlaku di negara ber­kenaan.

Kenyataan itu dibuat sehari sebelum pertubuhan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) mengeluarkan laporan mengenai situasi hak asasi manusia di lebih 100 buah negara.

Pencabulan hak asasi manusia yang diakui Jokowi itu dilaporkan berlaku di serata Indonesia dari wilayah paling utara, Aceh sehinggalah ke titik paling timur, Papua antara tahun 1960-an hingga awal 2000-an.

“Saya amat menyesalinya.

“Kami sedang cuba mendapatkan kembali hak mangsa dengan cara adil dan bijaksana tanpa membelakangkan jalan undang-undang,” kata Jokowi sambil menambah, beliau berharap usaha pentadbirannya dapat menyembuhkan luka negara Indonesia.

Indonesia yang merupakan negara terbesar dan paling ramai penduduk di Asia Tenggara, mempunyai sejarah panjang tentang pelanggaran hak asasi manusia.

Ini termasuk pembunuhan beramai-ramai yang menyasarkan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) pada tahun 1965 hingga 1966.

“Penyelesaian yang mengambil masa terlalu lama bagi kes pelanggaran hak-hak asasi manusia serius pada masa lalu bukan sahaja menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada mangsa tetapi juga menjadi halangan dalam mencapai perdamaian politik nasional untuk kerajaan,” kata Suruhanjaya Hak Asasi

Manusia Asia dalam satu kenyataan. – AGENSI

The post Jokowi mengaku pencabulan hak asasi manusia di Indonesia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*