Kenali Sejarah Nama Negeri & Asal-usul Kesultanan Terengganu

Kenali Sejarah Nama Negeri & Asal-usul Kesultanan Terengganu

Memandangkan Hari Ulang Tahun Pertabalan Sultan Terengganu disambut 4 Mac 2023, jadi hari ini kami ingin berkongsi dengan anda serba sedikit berkenaan negeri yang sangat terkenal dengan keropok lekor dan penyu ini.

Terengganu Darul Iman memiliki keluasan kira-kira 13,035 kilometer persegi dan memiliki lapan buah daerah. Antaranya, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Teengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Selain keropok lekor dan penyu, negeri ini turut dikenali dengan pelbagai kawasan tarikan pelancong merangkumi perlancongan berasaskan alam seperti pulau dan pantai.

asal usul kesultanan terengganu
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Terengganu turut memiliki kawasan tarikan pelancong bertemakan Islamik seperti Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Tasik Tok Ku Paloh dan sebagainya.

Tidak hairanlah kerana negeri ini dipercayai merupakan negeri pertama yang menerima pengaruh Islam berdasarkan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

Menurut Nicholas Tarling (1993), isi tulisan pada relik bersejarah berkenaan dijangka berasal dari 1303 Masihi sehingga 1387 Masihi.

Menarik kan? Negeri ini sudah semestinya kaya dengan sejarah, khususnya dari asal usul dan pemerintahannya. Apa kita tunggu lagi, jom kite dengor pasal tranung!

Asal usul nama Terengganu

1. Taring Anu

Terdapat pelbagai pendapat mengenai asal usul nama Terengganu iaitu pertama, ia berasal daripada perkataan Taring Anu.

Dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 – 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu.

Apabila mereka tiba di satu tempat (kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati), salah seorang daripada anggota rombongan itu terjumpa sebatang taring.

Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan “taring anu” kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut.

Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu.

Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di “Taring anu”. Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di “Taring anu”. Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

2. Terang Anu

Ada juga yang mengatakan ia berasal daripada perkataan ‘Terang Anu’. Berdasarkan kisah orang-orang tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan”cahaya kilat yang memancar, di kaki langit”.

Kejadian tersebut berlaku pada satu malam, ketika ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang.

Cahaya luar biasa tersebut disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat seolah-olah petir membelah bukit. Sinar cahaya berkenaan dipercayai sampai ke Kuala Terengganu.

Maka untuk memperingati had sempadan terangnya cahaya ganjil tersebut, tempat tersebut dinamakan sebagai “Terang Ganu”.

Kemudian, apabila tempat tersebut diangkat sebagai sebuah negeri, ia dinamakan sebagai “Negeri Terengganu”. Walau bagaimanapun, kesahihan kedua-dua kisah ini masih tidak dapat dipastikan sehingga kini.

Asal usul Kesultanan Terengganu

Sejarah Kesultanan Terengganu dipercayai bermula pada awal abad ke-18 lagi, iaitu kira-kira lebih tiga ratus tahun dahulu.

Tun Zainal Abidin Paduka Maharaja, bergelar Sultan Zainal Abidin I (Marhum Keledang) ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang pertama dan memerintah dari 1725 – 1733.

Menurut Ganupedia, berdasarkan catatan sejarah, baginda bersemayam di Kampung Tanjung Baru, Kuala Berang. Kemudian, baginda berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar, dan ke Pulau Manis.

Seterusnya, baginda berpindah lagi ke Chabang Tiga sebelum akhirnya bersemayam di Bukit Keledang sehingga akhir hayat baginda.

Sehingga kini, negeri tersebut telah diperintah oleh 17 sultan dan institusi ini kekal berdaulat sehingga hari ini.

Pada hari ini, Terengganu diperintah oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

asal usul kesultanan terengganu
Gambar hiasan | Kredit: Astro Awani

Baginda telah menaiki takhta kerajaan pada 15 Mei 1998 Masihi bersamaan 18 Muharram 1419 Hijrah selepas kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Peranan Kesultanan dalam bidang pertukangan dan pelayaran

Institusi kesultanan memainkan peranan signifikan dalam pembinaan tamadun pertukangan kapal dan perlayaran di Terengganu.

Hal ini dapat dilihat melalui pembangunan teknologi pembinaan Perahu Besar Terengganu yang menggabungkan teknologi pembinaan kapal Eropah dan seni Melayu.

Pembinaan ini telah didorong oleh Baginda Umar, Sultan Terengganu yamg memerintah ketika itu. Bukan itu sahaja, kehadiran dua orang Perancis yang terdampar di Pulau Kapas turut menyuntik perkembangan baru terhadap bidang pertukangan kapal dan perlayaran Terengganu.

perahu besar terengganu asal usul kesultanan
Kredit: TRDI

Peranan Kesultanan dalam Pembangunan Akhlak dan Jati Diri Terengganu

Selain bidang perkapalan dan pelayaran, Kesultanan Terengganu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan jati diri Terengganu kini.

Melalui inisiatif Baginda Umar dalam memperkenalkan Wakaf Baginda Umar, ramai ilmuan Islam Nusantara telah berhijrah ke Terengganu serta diberikan kemudahan kepada pengajar agama.

Dengan ini, ilmu dan kadar celik agama di Terengganu turut meningkat tinggi. Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pula, baginda turut berbuat demikian serta melibatkan golongan agamawan bersama-sama di dalam pemerintahan secara langsung.

Oleh itu, Baginda telah memperoleh gelaran ‘Sultan Regu Ulama’ kerana sering merujuk golongan agama dalam pelbagai soal pemerintahan.

Kebijaksanaan baginda ini berjaya menyekat pengaruh British yang ingin menguasai Terengganu ketika itu. Disebabkan kemudahan kepada pengajar agama ini, Terengganu telah memperoleh gelaran Darul Iman dibelakang namanya.

Kenali Istana Maziah, Pernah Menjadi Istana Diraja Ketika Dahulu

Istana Diraja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu ini direka dengan meletak pengaruh seni bina Perancis.

Kini, istana yang menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu akan digunakan sewaktu upacara rasmi Diraja atau majlis keraian rasmi negeri. Antara upacara rasmi adalah seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.

Istana Maziah terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu dan sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu.

Asalnya, istana ini dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula.

Dipercayai hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina telah bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.

Selain itu, beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979).

Bukan itu sahaja, tambahan bahagian istana turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.

Istana maziah asal usul kesultanan terengganu
Kredit: Travel Malaysia

Berikut merupakan beberapa pengetahuan am mengenai sejarah asal usul dan Kesultanan Terengganu. Jika anda berbangga menjadi anak jati Terengganu, anda boleh berkongsi artikel ini kepada kenalan anda.

Akhir sekali, dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kesultanan Terengganu. Semoga Terengganu kekal menjadi sebuah negeri yang berintelektual tinggi, maju dan kompetitif.

BACA: ‘Kecek’ BI Slang Tranung, Kefasihan Faisal Halim “Speaking” Jadi Bualan Peminat

Sumber: Ganupedia, Portal Rasmi Kerajaan Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

The post Kenali Sejarah Nama Negeri & Asal-usul Kesultanan Terengganu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*