Kajian Dapati Mak Ayah Baru Timang Anak Tak Cukup Tidur Enam Bulan Dalam 2 Tahun Pertama

Ibubapa ‘Baharu’ Cenderung Kurang Tidur 2 Tahun Selepas Kelahiran Anak Pertama

Satu kajian yang dijalankan oleh Silengnight,  mendedahkan bahawa ibu bapa yang baru menimang cahaya mata akan kehilangan waktu tidur sebanyak enam bulan dalam tempoh 24 bulan pertama selepas kelahiran cahaya mata mereka.

Berdasarkan hasil kajian itu lagi, sekitar 10 peratus ibu bapa dapat menikmati tidur hanya dua jam setengah setiap malam dalam tempoh ini.

Manakala, lebih daripada 60 peratus ibubapa yang mempunyai anak berusia kurang dari 24 bulan, hanya dapat tidur dalam tempoh tidak lebih dari tiga jam 15 minit setiap malam.

Justeru, seorang pakar di Silentnight, Iftikhar Mirza menasihati para ibubapa untuk  melakukan senaman ringkas secara kerap untuk membebaskan endorfin, yang mana dapat mengurangkan risiko untuk mengalami ‘mood swings‘ .

Salah satu komplikasi yang sering dialami oleh kebanyakan ibu bapa yang kekurangan tidur akibat kehadiran cahaya mata adalah masalah insomnia yang berpanjangan.

Perkataan insomnia berasal daripada perkataan Latin “in” (tidak) dan “somnus” (tidur), dan ia merujuk kepada keadaan seseorang individu yang mengalami kesukaran untuk tidur dan kekal tidur.

Perkara ini merangkumi pelbagai spektrum masalah gangguan tidur seperti masalah kurang tidur sehinggalah masalah tidur tidak nyenyak.

Lazimnya, insomnia sering dibahagikan kepada tiga jenis iaitu insomnia sementara yang berlaku selama beberapa hari sehingga beberapa minggu.

Manakala, insomnia jangka pendek akan bertahan selama beberapa minggu tetapi lebih lama berbanding insomnia sementara. seterusnya adalah imsomnia kronik yang boleh berlarutan berbulan-bulan atau bertahun lamanya.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Pada masa yang sama, insomnia itu sendiri merupakan gejala bagi beberapa jenis masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda dan gejala yang dikaitkan dengan insomnia.

Antaranya seperti kesukaran untuk tidur pada waktu malam, terjaga pada waktu tengah malam, bangun tidur lebih awal daripada waktu sepatutnya serta merasa penat walaupun selepas tidur selama semalaman.

Penghidap insomnia turut mengalami keletihan pada waktu siang ataupun mengantuk, kesukaran untuk fokus, sakit kepala, kesukaran untuk berkomunikasi, masalah penghadaman dan sebagainya.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Oleh sebab itu, seorang manusia memerlukan diet yang seimbang, senaman secara kerap dan tidur yang berkualiti untuk mendapatkan kesihatan yang baik.

Masalah tidur dapat menyumbang kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Kekurangan masa dan kualiti tidur juga dapat mengurangkan kualiti kehidupan seseorang individu.

Antara komplikasi yang berpunca daripada masalah tidur iaitu kualiti kerja terjejas, refleks menjadi semakin perlahan (ini boleh menjadi satu perkara yang berbahaya jika individu tersebut mengendalikan mesin ataupun memandu kenderaan), masalah kesihatan mental, melemahkan sistem imunisasi dan lain-lain.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa boleh meminta bantuan daripada kenalan ataupun rakan-rakan, menyertai kumpulan sokongan serta merujuk masalah ini kepada doktor.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di UK, majoriti orang dewasa memerlukan tidur selama 7 hingga 9 jam setiap malam.

Bagaimanapun, apabila usia semakin meningkat, jumlah jam untuk mendapatkan tidur yang mengcukupi semakin berkurang. Secara purata, manusia yang berusia lebih 70 tahun hanya memerlukan waktu tidur tidak melebihi enam jam setiap malam.

Berikut merupakan cara untuk mendapatkan tidur

1. Utamakan tidur berbanding kerja rumah

Jika anda merasa mengantuk dan bayi anda sedang tidur, jangan lepaskan peluang untuk tidur. Manfaat untuk mendapatkan tidur yang cukup adalah lebih banyak berbanding menanggung kesan daripada menangguhkan kerja rumah anda.

2. Meminta orang lain untuk memerhatikan anak anda, ketika anda sedang tidur

Minta bantuan ahli keluarga ataupun rakan-rakan untuk menjaga anak anda buat sementara waktu. Jika anda fikirkan ia merupakan satu perkara yang bakal menyusahkan mereka, jangan risau.

Rata-rata, ramai orang dapat memahami keletihan yang dialami oleh ibu bapa dan ini juga memberikan peluang kepada anak anda untuk mengenali orang lain, selain ibu bapanya sendiri.

3. Elakkan mengambil bahan perangsang

Elakkan diri anda daripada mengambil bahan-bahan yang merangsang anda untuk sentiasa terjaga seperti kafein. Bukan itu sahaja, nikotin yang terdapat pada rokok juga merupakan kafein.

4. Mengambil giliran untuk tidur

Jika masalah tidur anda menjadi semakin serius, berbincanglah dengan pasangan anda untuk menghasilkan sebuah jadual shif tidur.

Salah seorang boleh mengambil tanggungjawab menjaga anak pada waktu malam manakala, seorang lagi dapat tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan dan ini berubah apabila ‘shif’ sudah tamat.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Ini dapat meningkatkan kualiti dan masa tidur anda dengan lebih baik serta mengurangkan kebergantungan terhadap seorang individu sahaja.

5. Tidur sebentar pada waktu tengahari

Jika anda seorang yang bekerjaya, anda boleh tidur sebentar pada waktu rehat untuk mengganti semula waktu tidur yang tidak mencukupi. Tindakan ini juga dapat ‘mengecas tenaga’ anda dengan pantas dan menjadikan anda lebih produktif untuk berkerja dengan lebih baik.

BACA: “Berasa Lesu Apabila Bangun Tidur,” Sukar Untuk Tidur Antara Gejala Insomnia, Ini Antara Puncanya

Sumber: Medical News Today

The post Kajian Dapati Mak Ayah Baru Timang Anak Tak Cukup Tidur Enam Bulan Dalam 2 Tahun Pertama appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*